Ahli politik obesiti perlu contohi Syed Saddiq
AWAL tahun ini, data terkini yang dikeluarkan oleh The World Factbook – Central Intelligence Agency dari 2016 hingga 2024 menunjukkan negara kita muncul sebagai negara kedua di Asia Tenggara yang mempunyai ramai rakyat yang mempunyai masalah berat badan atau boleh dikatakan sebagai obesiti.
Brunei menduduki tangga teratas dengan 28.2 peratus, Malaysia dengan 19.7 peratus manakala, Singapura dan Thailand, masing-masing pada 11.6 peratus.
Apa yang mempengaruhi permasalahan ini sudah tentulah gaya hidup kita yang tidak menitikberatkan soal pemakanan dan gaya hidup yang sihat.
Fakta itu diperkuatkan lagi dengan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun lalu yang mendedahkan sebanyak 84 peratus dalam kalangan dewasa di negara ini tidak aktif dalam sukan dan aktiviti kecergasan.
Atau dalam bahasa kasarnya kita boleh katakan kira-kira 18 juta orang rakyat kita malas bersenam!
Tahun lalu pula, NHMS mengeluarkan data di mana Malaysia menduduki tangga kedua tertinggi kanak-kanak dan remaja obes di Asia Tenggara.
Hasil NHMS menunjukkan peningkatan prevalen berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak berumur 13 hingga 17 tahun telah meningkat daripada 24.6 peratus pada 2012 kepada 30.5 peratus pada 2022.
Ternyata penemuan ini sangat membimbangkan kerana ia menunjukkan trend peningkatan prevalen berlebihan berat badan dan obesiti serta amalan corak pengambilan pemakanan yang tidak sihat.
Permasalahan yang sudah menjadi barah dalam kehidupan rakyat Malaysia ini seharusnya dititik beratkan bukan sahaja setiap individu malah kerajaan perlu menjalankan kempen yang lebih agresif.
Mungkin perlu dimulakan dengan pemain politik yang ramai tergolong dalam kumpulan obesiti kerana mereka ini boleh menjadi cermin buat rakyat untuk dijadikan contoh tauladan.
Lihat sahaja Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berlari sejauh 200 kilometer dari Muar ke Parlimen baru-baru ini.
Biarpun beliau mempunyai misi dalam ‘Langkah Muar’ tetapi pemimpin muda berusia 31 tahun itu sangat aktif dalam aktiviti sukan dan menjadi ikutan golongan anak muda.
Jadi tidak salah kempen ini dimulakan dengan ahli politik kerana kita dapat lihat, ramai ahli politik yang dulunya kurus kini memasuki fasa obesiti.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!