Salahkah guru yang mendidik...
GURU merupakan insan yang wajib dimuliakan kerana mereka bukan sekadar mengajar atau menyampaikan ilmu pengetahuan, malah lebih daripada itu.
Mereka menjalankan tanggungjawab dan amanah yang sangat besar iaitu mendidik seorang manusia untuk menjadi insan mulia.
Sekolah merupakan tempat memupuk rasa cinta terhadap ilmu dan juga 'lubuk' untuk membentuk keperibadian, disiplin dan akhlak anak-anak.
Ibu bapa perlu menyedari kepentingan didikan atau teguran daripada seorang guru, dan jika mereka gagal untuk berbuat demikian tidak mustahil anak-anak akan mencontohi sikap tersebut.
Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 20 saat yang memapar tindakan seorang lelaki menengking guru kerana tidak berpuas hati rambut anaknya dipotong dalam kejadian di sebuah sekolah agama swasta.
Menerusi hantaran tersebut, lelaki berkenaan bertemu dengan guru yang bertanggungjawab untuk mendapatkan penjelasan tentang kewajaran pihak sekolah memotong rambut anaknya.
Dia turut mempertikaikan tindakan guru berkenaan mengenakan hukuman kerana anaknya belajar di sekolah swasta yang dibayar.
Sementara itu, di ruangan komen rata-rata orang ramai mengecam tindakan lelaki berkenaan kerana menyerang guru terbabit di sekolah.
Lebih menyedihkan apabila dapat dilihat bahawa di rumah mereka gagal dan di sekolah mereka pula yang gagalkan anak-anak.
Ilmu, disiplin dan akhlak bermula daripada ibu bapa serta bersambungan guru kepada anak-anak, jika putus maka anak-anaklah yang kerugian.
Selagi seseorang mempunyai ilmu pengetahuan dan menyebarkannya untuk kebaikan kepada manusia, maka dia adalah guru yang tetap perlu dihormati.
Ingat! Tanpa jasa guru maka tidak adalah seorang yang bergelar doktor, peguam atau sesiapa sahaja malah, sesebuah tamadun juga tidak akan terbina tanpa pendidik.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!