Hanya kuasa politik dapat bantu rakyat - UMNO Pulau Pinang

Musa Sheikh Fadzir
Musa Sheikh Fadzir
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menyifatkan hanya dengan kuasa yang diperolehi sahaja dapat membantu rakyat.

Menurutnya, pembangkang mungkin melabelkan parti tersebut sebagai kemaruk kuasa namun perkara tersebut perlu untuk membina kerajaan yang kukuh.

"Kenapa pilihan raya diadakan? Untuk mencari kuasa. Baru-baru ini Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memberitahu, ada orang kata kami gila kuasa.

"Saya kata hanya dengan kuasa politik sahaja kita boleh bantu rakyat," katanya pada Majlis Kasih Bersama Rakyat di Jalan Sungai Kechil pada Selasa malam.

Hadir sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin.

Jelasnya, pembangkang seharusnya juga tidak bertanding dalam pilihan raya jika mereka menganggap tindakan tersebut sebagai gila kuasa.

Musa memberitahu, walaubagaimanapun Joohari juga diingatkan agar tidak melupakan tugas hakikinya untuk membantu rakyat sekiranya dipilih pada hari pengundian Sabtu ini.

“Saya mohon pengundi di pusat daerah mengundi (PDM) ini memberi peluang kepada Joohari kerana beliau adalah calon mewakili Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan Joohari bakal berentap dengan lawannya, Abidin Ismail dari Perikatan Nasional (PN) susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!