Empat menteri kongsi pentas berdiskusi peranan bakat, tenaga kerja

Tengku Zafrul (dua dari kiri) bersama Steven (tengah), Nancy (dua dari kanan) dan Zambry (kanan) ketika program anjuran HRD Corp sempena NTW 2024 pada Khamis.
Tengku Zafrul (dua dari kiri) bersama Steven (tengah), Nancy (dua dari kanan) dan Zambry (kanan) ketika program anjuran HRD Corp sempena NTW 2024 pada Khamis.
A
A
A


KUALA LUMPUR - Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melepasi sasaran apabila seramai 375,817 rakyat Malaysia berjaya didaftarkan dalam 65,115 kursus latihan percuma, di samping 736 program dan penglibatan 1,400 penyedia kursus.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, angka berkenaan berjaya diraih pada hari keempat program berlangsung. “Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) pada awalnya menyasarkan seramai 200,000 peserta dalam 60,000 kursus.

“Ini membuktikan rakyat Malaysia menantikan latihan kemahiran. Latihanlatihan yang kita tawarkan juga dapat menarik penyertaan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi diskusi dalam Program Perintis Kecemerlangan Menteri bersempena NTW 2024 bertajuk ‘Membuka Potensi Ekonomi: Mengintegrasikan Pembangunan Sumber Manusia Dengan Dasar Perdagangan dan Pendidikan’ di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Khamis.

Program berkenaan juga dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang turut menjadi ahli panel.

Mengulas lanjut, Steven memberitahu bahawa Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara telah selesai menjalankan kajian semula Perintah Gaji Minimum 2022.

Menurutnya, kali terakhir kerajaan menyemak semula gaji minimum pada Mei 2022 dengan menaikkan gaji bulanan minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500.

Dalam sesi diskusi itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam turut memaklumkan bahawa Kesuma bersama 12 kementerian lain yang mempunyai pegangan dalam sektor pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) akan menggandakan usaha.
Artikel Berkaitan:


“Usaha ini bertujuan untuk melahirkan kerja dengan kemahiran yang sesuai dan mencukupi bagi memastikan dasar ekonomi negara dapat dicapai,” kata Steven.

Manakala menerusi topik Potensi Ekonomi: Mengintergrasikan Pembangunan Sumber Manusia, Dasar Perdagangan dan Pendidikan, Steven menerangkan dasar serta inisiatif Kesuma ke arah memacu pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, ia merangkumi strategi menyelaras dasar perdagangan dengan keperluan tenaga kerja melalui institusi pendidikan untuk memupuk kemahiran yang relevan dan pelaksanaan program pengurusan bakat profesional mahir.

Sementara itu, Nancy memaklumkan Malaysia berada di kedudukan pertama bersama 27 negara lain melibatkan kesaksamaan jantina dalam pencapaian pendidikan dan secara tidak langsung menunjukkan negara mencapai kesamarataan jantina dalam pendidikan dengan skor 1.00.

“Bahkan, kadar enrolmen pelajar perempuan menunjukkan konsisten lebih tinggi daripada pelajar lelaki dalam semua peringkat dengan yang tertinggi perbezaannya adalah peringkat pendidikan tinggi.

“Pada 2023, wanita membentuk 61.2 peratus daripada keseluruhan populasi pelajar dalam institusi pendidikan awam,” katanya. Pada masa sama, Tengku Zafrul memberitahu bahawa kebanyakan pemilik-pemilik syarikat memiliki pandangan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat perdagangan.

Dr Zambry pula dalam sesi berkenaan mengupas kerangka bertajuk ‘Membentuk Tenaga Kerja Esok: Dasar dan Bakat Pengajian Tinggi, Strategi Pengurusan Masa Depan Pekerjaan’.

Dalam ucapan itu, beliau menekankan perihal peranan kerajaan untuk bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi sebagai persediaan menghadapi permintaan tenaga kerja atau bakat yang semakin berkembang.