Bank Rakyat tawar moratorium 6 bulan kepada mangsa banjir di Sabah

Bank Rakyat moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir di Sabah. Foto hiasan
Bank Rakyat moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir di Sabah. Foto hiasan
A
A
A

BANK Rakyat menawarkan bantuan khas yang merangkumi kemudahan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir di Sabah membabitkan empat daerah iaitu Penampang, Putatan, Tuaran serta Tamparuli.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman berkata, sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang prihatin, pihaknya terpanggil untuk mengurangkan bebanan dan kesulitan serta berharap agar kemudahan tersebut dapat memberi kelegaan kepada mangsa banjir.

“Langkah proaktif yang diambil oleh Bank Rakyat bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia Madani iaitu mengurangkan beban kewangan serta komitmen yang ditanggung pelanggan dalam waktu mencabar ini.

Mohammad Hanis
Mohammad Hanis

“Justeru, pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk membuat ansuran bayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini.

"Ia termasuk produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pajak Gadai-i,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau memaklumkan, pihak yang terjejas boleh memohon menerusi e-mel bantuanbanjir@bankrakyat.com.my dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan dan salinan bil utiliti bagi mengesahkan alamat pelanggan.

Ujarnya, pelanggan perniagaan juga boleh terus mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran bagi mendapatkan bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my atau hubungi pusat panggilan di talian 1 300 800 800.

"Mereka juga boleh mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat (SB) yang berdekatan serta mengikuti media sosial rasmi Bank Rakyat bagi mendapatkan maklumat daripada semasa ke semasa," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!