Bidoglio tuntut aksi terbaik JDT

Pemain JDT perlu lebih agresif - foto fb Johor Southern Tigers
Pemain JDT perlu lebih agresif - foto fb Johor Southern Tigers
A
A
A

BIARPUN membawa bekalan selesa hasil kemenangan 5-0 berdepan Malaysian University Football Team (MUFT) pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, minggu lalu, kesebelasan Johor Darul Ta’zim (JDT), perlu memberikan aksi terbaik bagi mempertahankan kelebihan itu pada aksi suku akhir kedua Piala FA di venue sama, pada Jumaat.

Malah, pengendali skuad Harimau Selatan itu, Hector Bidoglio menjangkakan aksi sengit daripada skuad The University Tigers itu yang pastinya mahu merapatkan jurang defisit berkenaan sambil mencongak peluang mencipta kejutan.

“Bagi saya, pihak lawan akan mempamerkan aksi sama iaitu dengan mempamerkan permainan secara kompak dan menyukarkan kita untuk menembusi benteng pertahanan mereka.

“Bagaimanapun, pada aksi suku akhir pertama lalu, pasukan kita berjaya melakukan serangan dan menjaringkan gol.

“Oleh itu, sesi latihan menjelang pertemuan itu akan lebih tertumpu untuk mempertajamkan lagi jentera serangan kita,” katanya.

Bidoglio berkata, pihaknya mahu memilih dan menurunkan kesebelasan pemain yang tepat bagi mengharungi aksi suku akhir kedua berkenaan.

“Latihan minggu ini akan tertumpu kepada usaha mengenal pasti pemain yang tepat untuk diturunkan nanti.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, menentang pasukan ini (MUFT), bukannya sesuatu yang mudah.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, selain menurunkan pemain yang tepat, pasukan kita juga perlu mempamerkan aksi lebih agresif di sepanjang perlawanan dan seterusnya mencipta peluang jaringan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!