Scaloni ada banyak pilihan ganti Messi
LIONEL Messi belum pasti akan diturunkan pada perlawanan suku akhir Copa America menentang Ecuador pada Khamis, kata jurulatih Argentina, Lionel Scaloni.
Messi terlepas perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Sabtu ketika Argentina melakar kemenangan 2-0 ke atas Peru selepas mengalami kecederaan hamstring.
Scaloni berkata, dia akan membuat keputusan selepas sesi latihan untuk melihat sama ada Messi dapat diturunkan atau tidak.
"Kami akan menunggu beberapa jam dan membuat keputusan. Ia sentiasa lebih baik untuk memberikan lebih banyak masa.
"Semalam, kami melihat dia berada dalam keadaan positif dan kami akan melihat lebih mendalam sebelum buat keputusan," katanya.
Scaloni berkata, dia juga akan berbincang dengan pemain berusia 37 tahun itu sebelum perlawanan.
"Kami akan cuba berbincang dengannya dan jika dia tidak (bersedia), kami akan mencari penyelesaian terbaik untuk pasukan.
"Saya akan bercakap dengannya hari ini. Saya fikir adil untuk dia mendapatkan lebih masa dan berlatih sebanyak mungkin," katanya.
Scaloni melakukan sembilan pertukaran ketika menentang Peru ketika dia mengambil peluang untuk menggilirkan skuadnya dengan kelayakan ke peringkat kalah mati yang sudah pun dijamin.
Sekiranya Messi tidak bersedia untuk memulakan perlawanan menentang Ecuador, Scaloni boleh bermula dengan Julian Alvarez dan Lautaro Martinez sebagai penyerang berkembar di bahagian serangan.
Martinez adalah penjaring terbanyak Copa setakat ini dengan empat gol daripada tiga perlawanan, termasuk dua gol menentang Peru manakala Alvarez menemui sasaran pada perlawanan pembukaan menentang Kanada.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!