Sudah lama Stadium Darul Aman tidak dibanjiri 25,000 penyokong

KDA FC berharap kehadiran ramai penyokong mereka di Stadium Bandaraya pada minggu lalu dapat diulangi kembali dengan memenuhi Stadium Darul Aman pada malam Jumaat. Foto KDA FC
KDA FC berharap kehadiran ramai penyokong mereka di Stadium Bandaraya pada minggu lalu dapat diulangi kembali dengan memenuhi Stadium Darul Aman pada malam Jumaat. Foto KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengharapkan Stadium Darul Aman akan dilimpahi kehadiran 25,000 penyokong pada aksi suku akhir kedua Piala FA 2024-2025 pada malam Jumaat.

Pemilik majoriti saham KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, kelab tersebut menanti kehadiran penyokong setia Sang Kenari bagi membantu KDA FC yang akan menerima tentangan sengit daripada jiran setempat, Penang FC.

Menurutnya, misi kehadiran 25,000 penyokong di Darul Aman adalah satu impian yang diharapkan agar menjadi kenyataan kerana sudah lama suasana riuh-rendah tidak dapat dirasakan.

"Kehadiran seramai 15,000 penyokong adalah indah dan mempersonakan. 'Amazing'.

"Kehadiran seramai 20,000 penyokong adalah luar biasa dan kejutan minda. 'Extra ordinary'.

"Kehadiran seramai 25,000 adalah diri anda sebenarnya. 'Really you'," katanya yang dipetik melalui laman rasmi KDA FC pada Khamis.

Terdahulu, kelab tersebut menyasarkan purata 15,000 penyokong setiap perlawanan pada Julai ini dan mampu menjana sekitar RM1.5 juta hingga RM2 juta.

Penjanaan kewangan tersebut tidak termasuk aktiviti perniagaan kelab melalui jualan merchandise di gerai Sang Kenari Store, jualan GTR Burger, Makanan Snek dari Express Point, jualan minuman KDAlicious, Mini Karnival Sang Kenari dan Save Our Sang Kenari Run.

Artikel Berkaitan:

"Pasukan Sang Kenari telah buktikan, tiada yang mustahil jika semua berganding bahu, memberi sokongan padu kepada pihak pengurusan dan pemain, kita mampu menongkah semua cabaran.

"Bulan Julai adalah masanya penyokong Sang Kenari untuk membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi bukan hanya untuk memberi sokongan moral tetapi membeli tiket perlawanan untuk menyuntik aliran tunai kelab," ujarnya.

Pada dua pertemuan Derbi Utara berturut-turut di Stadium Bandaraya pada minggu lalu, KDA FC berjaya mengejutkan Penang FC 0-1 pada saingan Liga Super dan menewaskan pasukan sama juga 0-1 pada suku akhir pertama Piala FA.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!