Bayaran pencen selari semakan gaji penjawat awam

Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bayaran pencen kepada lebih 931,000 pesara akan diselaraskan, selari dengan semakan gaji pegawai awam dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa berkata, secara dasarnya pencen akan diselaraskan mengikut peruntukan Seksyen 3 Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).

"Seksyen ini memperuntukkan bahawa pencen atau elaun persaraan seseorang pegawai hendaklah diselaraskan sekiranya terdapat semakan gaji kepada pegawai awam yang sedang berkhidmat.

"Justeru, bayaran pencen juga akan diselaraskan, selari dengan semakan gaji pegawai awam dalam Kajian SSPA," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah pencen yang diterima pesara kerajaan bakal diselaraskan ekoran pengumuman semakan gaji penjawat awam baru-baru ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri mengumumkan penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai Disember depan, antara peningkatan tertinggi dalam sejarah negara, membabitkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Poay Tiong mendakwa ramai pesara kerajaan gusar mengenai kedudukan mereka sekiranya tidak terlibat dalam penyelarasan itu.

Mac lalu, Zaliha dalam jawapan bertulis bagi di Dewan Rakyat mendedahkan kerajaan menanggung pembayaran pencen untuk pesara perkhidmatan awam yang meningkat lebih RM1 bilion setiap tahun.

Bayaran pencen tersebut turut merangkumi ahli Parlimen dan anggota pentadbiran, termasuk setiausaha politik dan juga hakim.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan membayar RM32.01 bilion pada 2023 kepada sejumlah 931,707 pesara bagi tujuan pencen, meningkat RM1.75 bilion berbanding RM30.26 bilion yang kerajaan bayar kepada 902,999 pesara pada tahun sebelumnya.

Pada 2021, sejumlah RM28.04 bilion dibelanjakan bagi pembayaran kepada 878,441 pesara manakala pada 2020, sejumlah 26.39 bilion dibayar kepada 859,422 pesara perkhidmatan awam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!