Lelaki Indonesia ditahan pandu kereta kes samun

Lelaki warga Indonesia ditahan dan kereta yang dirampas untuk membantu siasatan.
Lelaki warga Indonesia ditahan dan kereta yang dirampas untuk membantu siasatan.
A
A
A

AMPANG - [DIKEMAS KINI] Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia kerana tiada lesen dan memandu sebuah kereta yang dilaporkan terlibat dalam kes samun berkumpulan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Putra, Tasek Tambahan, pada jam 9 pagi Rabu.

"Semasa penugasan dijalankan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan sebuah kereta jenis Proton Gen-2 yang dipandu oleh lelaki berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Azam berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai buruh itu tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

"Pemeriksaan lanjut terhadap nombor pendaftaran kereta yang dipamerkan menggunakan alat Mcops mendapati status dikehendaki.

"Ia berkaitan laporan Balai Polis Pandan Indah yang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan tanpa bersenjata," katanya.

Beliau berkata, lelaki bersama kenderaan itu telah dibawa ke Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya untuk tindakan lanjut.

"Kes diklasifikasikan dan dirujuk di bawah seksyen yang sama, suspek telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!