Pindaan akta banteras akaun keldai akan dibentang di Dewan Rakyat

Azalina Foto fail Bernama
Azalina Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan dijangka membentangkan cadangan pindaan undang-undang bagi bagi membanteras jenayah penipuan dalam talian yang berkaitan dengan akaun keldai secara komprehensif dan berkesan pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia kerana kebanyakan aktiviti penipuan dalam talian digerakkan dengan menggunakan akaun keldai sebagai tempat persinggahan untuk menyimpan wang milik mangsa sebelum dipindahkan kepada akaun lain.

Menurutnya, apabila siasatan dijalankan terhadap pemilik akaun berkenaan didapati akaun mereka telah disewakan atau diberi akses kepada orang lain secara sukarela mahu pun sebaliknya.

Kata beliau, pemilik-pemilik akaun tersebut juga kebiasaannya tidak mengenali pihak ketiga yang telah menyalahgunakan akaun bank mereka sebagai medium transit wang mangsa sekali gus menyukarkan siasatan.

“Buat masa ini, perundangan sedia ada tidak memperuntukkan apa-apa kesalahan bagi tindakan pemilik akaun yang membenarkan akaun milik mereka digunakan oleh orang lain dan tiada peruntukan khusus yang boleh digunakan oleh pihak polis untuk menyekat pergerakan wang mangsa setelah disalurkan ke akaun keldai.

“Disebabkan keperluan ini, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pindaan kepada Akta 574 Kanun Keseksaan dan Akta 593 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab soalan asal RSN Rayer (PH-Jelutong) berhubung status penggubalan perundangan berkaitan kesalahan dengan akaun keldai.

Azalina menjelaskan, cadangan pindaan dipertimbangkan akan melibatkan perwujudan kesalahan baharu yang berkaitan dengan tindakan mana-mana pihak yang membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh orang lain tanpa kuasa yang sah bagi tujuan untuk menangani isu akaun keldai.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pindaan terbabit akan memberikan kuasa kepada pegawai penyiasat untuk mengarahkan permintaan akaun bank yang disyaki terlibat dengan aktiviti jenayah siber.

“Kedua-dua cadangan pindaan ini dijangka dibawa dan dibentang dalam sesi Parlimen kali ini setelah memperoleh pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!