PRK Kimanis dan penujuman politik
SERI 5 sama! Itu kedudukan semasa antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas 10 Pilihan Raya Kecil (PRK) pasca-Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Kalah dan menang adat pertandingan. Yang penting adalah memperguna mandat yang ada untuk mengorak langkah seterusnya.
Harus diingat suasana PRK sangat berbeza dengan PRU. Selalunya PRK tidak membawa sebarang makna apa-apa kerana sentimennya sekadar memilih wakil rakyat yang baharu berbanding PRU yang naratifnya untuk memilih kerajaan yang bakal memerintah.
Sebab itulah kemenangan dalam PRK tidak begitu signifikan dan berkekalan. Sejarah PRK yang terdahulu telah mengajar kita bagaimana dinamik, luwes dan fleksibelnya kelakuan pengundi yang sentiasa terpengaruh dengan faktor-faktor semasa setiap kali pilihan raya diadakan.
PRK Kimanis memperlihat kita kepada beberapa perkara yang harus diperhatikan. Pertama, pentingnya untuk meraih undi dan sokongan pengundi atas pagar dalam menjamin kemenangan. Trend itu bukan sahaja berlaku ketika di PRK Kimanis, ia juga serupa ketika di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai.
Kedua, kecenderungan kesetiaan dan ikatan kepada parti politik tidak lagi menjadi jaminan kepada sokongan dan kemenangan. Dan yang terakhir, kerasionalan pengundi yang ketara meningkat disebabkan perkembangan teknologi dan akses kepada maklumat.
Sebab itulah dalam mana-mana kajian pilihan raya, amat sukar untuk meramalkan siapa yang akan menang.
Faktor setempat seperti geografi, sosiologi, psikologi, budaya, etnik dan sebagainya juga mesti menjadi pertimbangan semasa selain tiga faktor utama iaitu calon, isu dan jentera dalam membuat ramalan.
Kalau tilikan akhbar Washington Post, majalah The Politico dan firma penganalisis Moody’s Analytics (MA) yang mengatakan Hillary Clinton akan menang mudah ke atas Trump ketika pemilihan Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016 pun boleh silap, maka janganlah pula terkejut dan memperlekeh dapatan kajian Ilham Centre di Kimanis yang juga tersasar daripada jangkaan.
Ini kerana, memahami tingkah laku dan corak pengundian oleh pengundi sahaja tidak cukup untuk membantu memahami bagaimana parti atau calon yang bertanding memenangi pilihan raya.
Umumnya ia hanya membolehkan parti atau calon yang bertanding mengatur strategi berkempen dalam menawan hati dan pemikiran pengundi.
Malah, dalam disiplin sains politik, memang tidak ada mana-mana model atau teori yang berupaya untuk memberikan suatu ramalan yang tepat dalam perkara sebegini.
Secara umum, tiga model sering digunakan dalam memahami tingkah laku pengundi iaitu model sosiologikal, model identifikasi parti dan model pilihan rasional yang hanya memberikan kerangka bagi memahami tingkah laku pengundi membuat pilihan, bukannya meramalkan siapa akan menang.
Tambahan pula, sifat manusia yang dinamik dan tidak statik menjadikan ia sukar diramal. Walaupun ada data statistik, ia tidak mampu untuk menerangkan dapatan kajian secara mutlak sepenuhnya, kelaziman berlaku dalam bidang sains sosial yang banyak menerangkan fenomena menerusi pemerhatian dan kajian lapangan.
Inilah yang menjadikan kajian terhadap politik pilihan raya unik dan menarik. Kerana kajian sebegini sering berlaku dalam makmal yang luas dan terbuka.
Ia akan sentiasa menjana hipotesis dan dapatan yang pelbagai bukan sahaja untuk memperkaya wacana ilmiah dan sumbangan akademik, tetapi terus memastikan adanya penemuan terkini dan percambahan pendapat dari perspektif yang berbeza tapi masih rasional, matang dan terbuka.
Sifat manusia yang dinamik dan tidak statik menjadikan ia sukar diramal."
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!