Pengarah syarikat mengaku tidak bersalah seleweng diesel

Sze Yuen (kanan) membayar ikat jamin selepas mahkamah mengenakan jaminan terhadapnya.
Sze Yuen (kanan) membayar ikat jamin selepas mahkamah mengenakan jaminan terhadapnya.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Pasangan suami isteri yang juga pengarah sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyeleweng lebih 15,000 liter diesel membabitkan lebih RM34,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Tan Kim Soon, 35, sebagai pengarah 1 syarikat dan isteri Koh Sze Yuen, 34, (pengarah 2) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan bersama, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu 15,979 liter diesel tanpa lesen sah di hadapan stesen Jabatan Pengangkutan Jalan Laloh, Kuala Krai, kira-kira jam 7 petang, 7 Ogos 2022.

Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihak pendakwaan memohon jaminan tinggi sehingga RM100,000 atas alasan ketirisan diesel yang sedang berlaku di negara ini selain melibatkan kepentingan awam.

Mahkamah kemudian membenarkan Kim Soon diikat jamin sebanyak RM40,000 manakala Sze Yuen sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Balai Polis Petaling Jaya setiap bulan.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, Syarikat Heng Seng dan Company didakwa atas kesalahan sama mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM2 juta.

Artikel Berkaitan:

Pihak pendakwaan turut memohon mahkamah mempertimbangkan denda yang berat untuk kepentingan awam dan mengambil kira kesan ke atas rakyat berikutan ketirisan diesel.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 ke atas syarikat berkenaan dan menetapkan sebutan semula pada 8 Ogos depan untuk kesemua kes.

Pendakwaan dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Wan Mohd I'zzat Wan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Dahlia Tan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!