[VIDEO] Daim mohon kes didengar hakim lain, 9 Ogos

A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendengaran permohonan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, supaya kes gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta didengar di hadapan hakim lain, ditetapkan pada 9 Ogos depan.

Hakim Azrul Darus memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry memaklumkan pihaknya masih menunggu keputusan berhubung permohonan pemindahan kes yang difailkan Daim pada 7 Mei lalu.

Ketika sebutan kes, Mohamad Fadhly berkata, afidavit balasan pendakwaan selaku responden telah difailkan pada 23 Mei sementara afidavit jawapan Daim sebagai pemohon, ialah pada 30 Mei.

Daim
Daim

Mendengar perkara itu, peguam, M Puravelan yang mewakili bekas pemimpin kanan UMNO ini memohon supaya kehadiran anak guamnya, pada 9 Ogos dikecualikan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan terbabit.

Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, mahkamah memerintahkan Daim supaya hadir pada tarikh pendengaran permohonan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Pada 29 Januari lalu, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, sebutan kes itu didengar di hadapan Hakim Azura Alwi.

Daim memfailkan permohonan untuk memindahkan kes pada 7 Mei lalu atas alasan antaranya terdapat kemungkinan berlaku ketidakadilan dan prejudis terhadapnya kerana kes isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid juga didengar di hadapan hakim sama (Azura).

Na'imah, 66, didakwa pada 23 Januari lalu, atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!