Tersungkur kerana benci
HAKIKATNYA, kita semua mempunyai perasaan benci. Cuma kadarnya berbeza bagi setiap individu. Perasaan benci itu semakin tinggi apabila sifat agresif dalam diri melebihi sifat kasih sayang. Justeru, tidak peliklah jika perkataan benci itu sendiri bermaksud perasaan tidak suka yang begitu mendalam terhadap seseorang dan sesuatu benda.
Apa yang jelas, perasaan benci itu bukan sahaja mereka yang dibenci akan tersungkur rebah, namun orang yang membenci juga akan terkulai dek rosaknya jiwa kerana dendam dan amarah yang bertunjangkan kebencian.
Menurut kajian di Amerika Syarikat oleh Southern Poverty Law Center (SPLC), pada tahun 2015 terdapat 917 organisasi kebencian telah ditubuhkan. Namun begitu ia telah meningkat 900 peratus pada tahun 2017. Ini bermakna, sifat kebencian itu jika tidak dikawal boleh merobek sesebuah negara dengan cukup mudah.
Walaupun di negara kita, tiada kajian yang begitu serius berkaitan hal itu, namun bibit-bibit kebencian semakin marak menyebabkan telah ada usaha dari pihak ketiga untuk melonjakkan kempen ‘Buang kebencian dan hidupkan keharmonian’ dalam kalangan rakyat agar ‘nasi tidak menjadi bubur’.
Sebetulnya, salah satu sebab timbulnya perasaan benci adalah kerana kita takut dan berasa terancam dengan seseorang atau sesuatu kumpulan yang berbeza dengan kita. Keadaan itu menyebabkan berlaku peningkatan perasaan sayang sehingga taksub kepada kumpulan yang ada persamaan dengan kita dan bersikap agresif serta benci kepada setiap kumpulan yang berbeza dengan kita.
Keadaan itu menjadi semakin bahaya sekiranya tiada langsung sifat tolak ansur dan terbuka dalam menerima perbezaan. Natijahnya, akan berlaku pertembungan di antara kita bagi menegakkan kebenaran menurut perspektif masing-masing.
Selain itu, kebencian itu juga disebabkan oleh ketakutan dalam diri sendiri. Menurut Freudian, fenomena itu berlaku kerana kita sentiasa hendak menonjolkan diri sebagai individu yang cukup baik dengan menyerang keburukan orang lain.
Gejala itu dikenali sebagai projection yang merupakan sebahagian daripada mekanisme bela diri yang ada dalam diri seseorang bagi tujuan untuk berjaya dalam hidup. Apa yang jelas, selagi kita tidak menerima kekurangan yang ada dalam diri, maka selagi itulah kita akan berterusan mengekalkan sifat benci setiap hari.
Apa yang jelas, kesan daripada sikap membenci itu boleh menghalang diri kita untuk menolong orang lain, suka menunjukkan kuasa, bersikap tidak adil, serta cenderung untuk melakukan perkara yang memalukan kerana terlalu gelojoh untuk bercakap dan bertindak tanpa menggunakan akal yang waras. Ini bermakna, kita harus hilangkan perasaan benci tersebut secara serius dengan mempelajari kaedah menangani sifat agresif dan meningkatkan unsur kasih sayang.
Menurut perspektif Islam, kebencian itu boleh ditangani dengan menahan sifat marah serta memaafkan kesalahan orang lain seperti mana firman ALLAH: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (Ingatlah), ALLAH mengasihi orang yang buat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali Imran, 3:133-134)
Justeru, jauhilah sifat benci dan suburkan nilai kasih sayang bagi mengukuhkan ikatan keharmonian.
Menurut perspektif Islam, kebencian ini boleh ditangani dengan menahan sifat marah serta memaafkan kesalahan orang lain."
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!