Perolehan tak ikut perancangan, TLDM operasi guna kapal lebih usia
SHAH ALAM - Kelewatan penyiapan lima kapal tempur pesisir (LCS) yang sepatutnya diterima pada tahun 2019 hingga 2022 dikenal pasti antara faktor prestasi perolehan dan penerimaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sehingga 31 Disember 2022 tidak memuaskan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/2024, pengauditan yang dilakukan terhadap aspek tersebut tidak memuaskan kerana tidak dilaksanakan mengikut perancangan.
Ia sekali gus menjejaskan sasaran pegangan kapal di bawah Program Transformasi TLDM #15to5 yang dirangka untuk meningkatkan keupayaan tempur, daya tahan operasi maritim dan menangani isu keusangan kapal TLDM secara berperingkat.
"Berdasarkan perancangan Program Transformasi TLDM #15to5, sasaran pegangan kapal di bawah RMKe-11 dan RMKe-12 adalah sebanyak 18 kapal yang merangkumi enam LCS, 10 Littoral Mission Ship (LMS) dan dua Multi RoleSupport Ship (MRSS).
"Semakan audit mendapati prestasi perolehan dan penerimaan kapal TLDM di bawah RMKe-11 dan RMKe-12 (sehingga 31 Disember 2022) adalah rendah berbanding sasaran yang ditetapkan.
"TLDM menyasarkan perolehan sebanyak 18 kapal namun hanya empat kapal diterima iaitu 22.2 peratus," katanya.
Jelas laporan itu, antara faktor yang mempengaruhi ketidakcapaian sasaran pegangan kapal adalah kelewatan penyiapan lima kapal LCS yang sepatutnya disiapkan dan diterima pada tahun 2019 hingga 2022, namun sehingga bulan Disember 2022, kapal tersebut masih belum diterima.
Selain itu, kerajaan juga memutuskan untuk mengurangkan perolehan kapal LCS sebanyak satu unit.
"Keadaan ini menyebabkan TLDM masih menggunakan kapal yang melebihi usia guna bagi tujuan operasi disebabkan perolehan tidak dilaksanakan mengikut perancangan Program Transformasi TLDM #15to5 dan kelewatan penerimaan kapal baharu," katanya.
Tambah laporan tersebut, semakan audit mendapati 26 kapal iaitu 53.1 peratus daripada keseluruhan 49 kapal telah melebihi usia guna antara sembilan hingga 25 tahun dan masih digunakan untuk tujuan operasi.
"Analisis audit selanjutnya terhadap 26 kapal yang telah melebihi usia guna tersebut mendapati sebahagian kapal telah digunakan secara high-tempomelebihi antara lima hingga 156 hari.
"Bagi tempoh tahun 2020 hingga 2022, bilangan kapal beroperasi secara high-tempo adalah masing-masing sebanyak 14 kapal (53.8 peratus), 19 kapal (73.1 peratus) dan 16 kapal (61.5 peratus)," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!