Banci Pertanian 2024 bermula Ahad ini
SERDANG - [DIKEMAS KINI] Setelah hampir 19 tahun tidak dilaksanakan, Banci Pertanian 2024 akan dijalankan selama tiga bulan bermula Ahad ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, banci tersebut merangkumi empat subsektor iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur, perhutanan serta pembalakan.
"Operasi kali ini meliputi lebih 20,000 pertubuhan berdaftar, instutisi, koperasi dan persatuan.
"Turut disasarkan sekurang-kurangnya 1.3 juta tempat kediaman pengusaha dan pemilik pertanian," katanya dalam ucapan sempena peluncuran Banci Pertanian 2024 di sini pada Khamis.
Menurutnya, inisiatif tersebut dapat meningkatkan ketersediaan data yang komprehensif, real-time, berkala dan bermanfaat kepada pelbagai pihak.
"Data banci yang komprehensif akan menjadi sumber teknikal untuk sektot pertanian, khususnya menjadi input utama kepada penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kelak," kata Fadillah.
Ujar beliau, pelaksanaan Banci Pertanian merupakan agenda bagi pengukuhan sistem statistik pertanian negara.
"Melalui banci ini, kerajaan dapat mewujudkan kerangka data pertanian yang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam ekosistem pertanian," katanya.
Fadillah yang juga Pengerusi Majlis Statistik Data Negara berkata, melalui Banci Pertanian 2024, negara akan mendapat manfaat daripada pembangunan Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu yang merangkumi data pertanian di peringkat huluan dan hiliran dan menggabungjalinkan data banci dengan data pentadbiran daripada pelbagai agensi sehingga ke peringkat negeri dan daerah.
"Ketersediaan data Banci Ekonomi (BE) 2023 yang telah dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ke atas 1.2 juta pertubuhan berdaftar di seluruh negara pada tahun lepas, turut dimanfaatkan dalam membangunkan pangkalan data ini," jelasnya.
Turut hadir, Menteri Pertanian Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahiadin.
Fadillah berkata, data tersebut merentasi pelbagai sektor ekonomi, daripada huluan seperti pengeluaran pertanian di ladang sehingga kepada aktiviti hiliran seperti industri pembuatan produk asas tani dan penyedia perkhidmatan antaranya aktiviti pengangkutan, pemasaran, restoran, penginapan dan peruncitan.
"Semua ini amat diperlukan oleh Negara dalam pembuatan keputusan yang tepat dan bagi pelaksanaan program pertanian yang berkesan," katanya.
Seiring dengan perubahan semasa, ujar beliau, kesinambungan banci ini akan diteruskan dengan pelaksanaan tinjauan atau kajian pertanian secara berkala untuk mengukur keterjaminan makanan negara, kesejahteraan petani dan prestasi sektor pertanian.
"Ia selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan keperluan pembangunan indikator keterjaminan makanan yang mencakupi maklumat mengenai harga dan ketersediaan makanan di semua peringkat bagi memacu pembangunan sektor pertanian.
"Selain itu, elemen inovasi dan penggunaan teknologi terkini seperti kebun pintar, kecergasan buatan (AI) serta aspek pemuliharaan alam sekitar dapat diukur melalui banci ini," katanya.
Tambah beliau, penggunaan teknologi bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan sektor pertanian tetapi juga dapat menarik minat golongan belia untuk menceburkan diri dalam sektor pertanian.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!