LKAN: Fadillah tidak mahu isu dibangkitkan berulang

Fadillah (tengah) bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (empat dari kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron (kiri) bergambar selepas selesai majlis Peluncuran Banci Pertanian 2024 yang diadakan pada Khamis. Foto ROSLI TALIB
Fadillah (tengah) bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (empat dari kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron (kiri) bergambar selepas selesai majlis Peluncuran Banci Pertanian 2024 yang diadakan pada Khamis. Foto ROSLI TALIB
A
A
A

SERDANG - [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memandang serius dan tidak mahu segala laporan serta teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/2024 berkaitan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berulang pada masa akan datang.

Jelasnya, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli akan mengetuai pasukan dalaman untuk meneliti perkara yang dibangkitkan.

"Berkaitan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kita memang dah ada pasukan melihat segala laporan (LKAN) dan akan ambil tindakan atas segala teguran,” katanya yang ditemui menyempurnakan Majlis Peluncuran Banci Pertanian 2024, di sini pada Khamis.

Siri 2/2024 LKAN yang diterbitkan mendedahkan sebanyak 145 daripada 712 projek pembangunan infrastruktur air lewat daripada jadual asal antara 86 hingga 1,076 hari melibatkan kos berjumlah RM6.150 bilion.

Selain itu, sasaran 13.5 peratus rizab margin air terawat kebangsaan tidak dapat dicapai oleh empat negeri sampel yang dilawati pada tahun 2022 iaitu Kedah, Kelantan, Perlis dan Sabah dengan rizab sangat rendah iaitu 3.9 peratus bagi Kelantan serta tiada rizab bagi Kedah.

Turut didedahkan, kadar air tidak berhasil (NRW) bagi negeri sampel tidak mencapai sasaran kebangsaan iaitu 51.5 peratus hingga 61.5 peratus pada tahun 2022.

Justeru, Ketua Audit Negara mengesyorkan kepada PETRA serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam supaya meningkatkan pemantauan terhadap penyiapan projek dan program pembangunan serta naik taraf bagi sumber air, bekalan air terawat dan kualiti air dalam tempoh ditetapkan.

Di samping itu, kedua-dua kementerian diminta supaya memantapkan tadbir urus kolaboratif dan penglibatan bersama Kerajaan Persekutuan dan Negeri sebagai penyelarasan bidang kuasa serta penglibatan pihak berkuasa negeri bagi penyelesaian isu air secara bersepadu.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!