PAC dedah HRD Corp labur RM3.77 bilion hasil kutipan levi majikan

Mas Ermieyati bersama ahli PAC mendedahkan mengenai pelaburan yang dilakukan HRD Corp dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Khamis.
Mas Ermieyati bersama ahli PAC mendedahkan mengenai pelaburan yang dilakukan HRD Corp dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sebanyak RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan telah digunakan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) untuk melabur sedangkan ia bukanlah sebuah institusi pelaburan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya mendapati HRD Corp telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

“Perlu diingatkan bahawa HRD Corp bukanlah sebuah institusi pelaburan, namun PAC mendapati HRD Corp telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dengan menggunakan wang levi seperti ‘put and call option’.

“Pelaburan ini adalah berisiko tinggi dan boleh mendedahkan HRD Corp kepada risiko kerugian yang besar,” katanya pada sidang akhbar laporan PAC di Dewan Rakyat pada Khamis.

Matlamat penubuhan HRD Corp adalah bagi pengenaan dan pemungutan levi pembangunan sumber manusia bagi maksud penggalakan latihan serta pembangunan pekerja, perantis dan pelatih selain penubuhan dan pentadbiran kumpulan wang.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati menjelaskan, jumlah kutipan levi yang direkodkan HRD Corp meningkat dengan begitu ketara iaitu RM2.134 bilion pada 2023 berbanding RM475 juta pada 2020.

Ujarnya, peningkatan yang begitu ketara itu adalah akibat dari perluasan Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001 (Akta PSMB 2001) pada 1 Mac 2021 di mana kenaan levi telah diwajibkan kepada semua sektor industri.

“Melalui prosiding yang telah diadakan, PAC dimaklumkan bahawa terdapat sejumlah levi yang tidak digunakan oleh majikan dalam tempoh dua tahun akan dikategorikan sebagai ‘unutilised levy’.

Artikel Berkaitan:

“Tempoh ini dilihat terlalu singkat yang mana ia tidak dapat membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sepenuhnya untuk menggunakan dana latihan tersebut,” ujarnya.

Mas Ermieyati berkata, sebagai langkah penambahbaikan, PAC antaranya mengesyorkan HRD Corp harus menumpu dengan lebih proaktif kepada penyaluran dana latihan.

“Selain itu, HRD Corp perlu memastikan setiap aktiviti pelaburan dipantau oleh panel pelaburan dan Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp dengan lebih telus dan teratur.

"Panel pelaburan wajib melaporkan aktiviti pelaburan kepada lembaga pengarah apabila diminta seperti yang termaktub dalam Akta PSMB 2001 dan bukan hanya kepada Pengerusi ALP.

“HRD Corp perlu mewujudkan garis panduan bagi perolehan aset termasuk dan tidak terhad kepada ‘Limits of Authority’ (LOA) dan SOP, supaya terdapat satu proses piawaian prosedur yang konsisten dan memastikan pelaksanaannya dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Mas Ermieyati memberitahu, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) harus melantik perunding bebas untuk melakukan pengauditan forensik keberkesanan program-program latihan yang dijalankan di bawah HRD Corp termasuk dan tidak terhad kepada program-program di bawah geran kerajaan.

Tambahnya, ia juga harus mengambil kira segala aduan dalam pelaksanaan program tersebut dan laporan forensik berkenaan harus dilaporkan semula kepada PAC.

“Kesuma perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam memantau dan meneliti perjanjian-perjanjian yang dimeterai oleh HRD Corp dengan pihak ketiga dan juga program-program yang dilaksanakan serta mendapatkan pandangan daripada Penasihat Undang-undang Kesuma sekiranya perlu,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!