Kerajaan Filipina zahir terima kasih - Tok Mat

Mohamad (tiga kiri) merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-45 Pertubuhan Peladang Kawasan Rembau di Rembau pada Khamis.
Mohamad (tiga kiri) merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-45 Pertubuhan Peladang Kawasan Rembau di Rembau pada Khamis.
A
A
A

REMBAU - Kerajaan Filipina menzahirkan rasa suka cita dan berterima kasih kepada Malaysia kerana telah bersusah payah berusaha menyatukan dan mengadakan perundingan sehingga Kepulauan Mindanao bakal menjadi sebuah wilayah autonomi.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia dizahirkan sendiri oleh Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr kepadanya semasa mengadakan lawatan ke negara berkenaan, baru-baru ini.

Menurutnya, Presiden Filipina itu memohon ataupun minta supaya Malaysia melihat Mindanao sebagai satu kawasan pertumbuhan baharu.

"Dua, tiga kali dalam percakapan beliau dengan saya, mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Malaysia kerana keamanan yang sudah dikecapi oleh penduduk di Selatan Filipina terutamanya di Mindanao tersebut.

"Ia adalah hasil kerjasama dan juga bantuan Malaysia yang mengurus gencatan senjata yang mengurus semua pihak supaya berdamai.

Mohamad (empat kiri) menyampaikan penghargaan kepada individu terlibat dalam Pertubuhan Peladang Kawasan Rembau.
Mohamad (empat kiri) menyampaikan penghargaan kepada individu terlibat dalam Pertubuhan Peladang Kawasan Rembau.

"...Dan sekarang ini mereka yang dahulunya merupakan mahu adanya autonomi negeri sendiri akan mengadakan pilihan raya negeri mereka pada bulan Mei 2025 tahun depan, akan ada kerajaan autonomi seperti apa yang dihasratkan," katanya selepas selesai merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-45 Pertubuhan Peladang Kawasan Rembau di sini pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa Filipina sedang berusaha untuk menubuhkan kerajaan Islam autonomi di pulau selatan Mindanao yang sepatutnya dijadualkan pada 2022 tetapi ditangguhkan sehingga 2025 disebabkan oleh beberapa faktor antaranya pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu mengadakan lawatan rasmi sulung beliau ke Filipina pada 1 Julai sekali gus menandakan satu langkah penting dalam mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik berkenaan yang telah terjalin selama lebih enam dekad.

Dalam pada itu Mohamad turut menyifatkan keakraban hubungan Malaysia dan Filipina ini sangat penting kerana ia merupakan negara berjiran.

"Tahun depan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, jadi saya berjumpa dengan semua kepimpinan termasuk Presiden Filipina sendiri untuk memberitahu peranan yang akan kita mainkan terutamanya berhubung isu yang berlaku di sekitar kawasan kita, di Rantau Asia Tenggara ini, perlu satu kata sepakat untuk kita atasi.

"Jangan kita bersendirian, jadi kita sama-sama dalam negara ASEAN ini merupakan satu blok. Blok yang mahu melihat supaya rantau Asia Tenggara ini rantau yang amat berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana pihak.

"Itu sebabnya di Malaysia sendiri, dasar luar negara Malaysia saya nak jadikan Malaysia ini sebagai negara berada di tengah ataupun The Middle State, kita tak condong ke kiri, kita tak condong ke kanan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!