Dakwaan proses plastik terpakai jadi pelet ikan hanyalah kekeliruan
SERDANG - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyangkal dakwaan penggunaan pelet plastik dijadikan sebagai makanan ikan sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penternak akuakultur.
Sebaliknya kata Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azahari Othman, ia hanyalah satu kekeliruan.
"Baru-baru ini, sebuah kilang kitar semula di Kuala Muda telah diserbu oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan didapati memproses bahan kitar semula menjadi pelet plastik dan membungkusnya menggunakan beg plastik kitar semula," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Banci Pertanian 2024 di sini pada Khamis.
Jelas beliau, beg pembungkusan yang digunakan adalah beg makanan ikan dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penternak bahawa pelet plastik tersebut adalah makanan ikan.
"DOF ingin menegaskan bahawa kilang kitar semula tersebut tidak mempunyai kaitan dengan PSJ Feed Sdn Bhd, sebuah kilang makanan ikan yang sah dan beroperasi di Pulau Pinang sejak tahun 2022," ujar beliau.
Azahari berkata, PSJ Feed Sdn Bhd dalam proses mendapatkan pensijilan kualiti ikan (FQC) yang menunjukkan komitmen mereka terhadap kualiti dan keselamatan produk.
"Siasatan akan dibuat oleh DOF dengan pengambilan sampel makanan di kilang PSJ Feed Sdn Bhd bagi pengesahan komposisi makanan.
"Keputusan analisa sampel makanan ikan akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari bekerja," katanya.
Pada Rabu, JAS melakukan serbuan terhadap kilang yang terletak di Kuala Muda, Kedah didakwa disyaki memproses plastik terpakai menjadi pelet makanan ikan.
Hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 100 tan metrik yang telah selesai diproses sebagai pelet dan dibungkus dalam plastik bertulis makanan ikan air tawar.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!