Pinjam duit anak tetap dikira hutang, wajib dilangsaikan
“AYAH pinjam duit kamu dulu ya, nanti ayah ganti balik.”
Demikian antara kandungan video yang dilihat menjadi trend sejak kebelakangan ini menerusi aplikasi TikTok.
Ditambah pula dengan paparan video melankolik menggunakan tangisan dan air mata menghiasi pengisian berkenaan, membuatkan sesiapa yang melihatnya menjadi sebak.
Masakan tidak, figura bapa merupakan insan penting yang memberi nafkah kepada keluarga dari kita berada di dalam kandungan ibu hinggalah menginjak dewasa dan berupaya mencari duit sendiri.
Sememangnya tanggungjawab ayah tidak pernah terhenti. Adakalanya mereka jugalah yang menghulur tambahan wang saku apabila mengetahui anaknya yang sudah bekerja menghadapi kesulitan hidup.
Namun, tatkala bapa pula yang bersuara untuk meminjam duit daripada anak sekalipun dalam jumlah yang kecil, sebagai anak, rasa terkilan sukar diungkapkan lantaran diri sendiri tidak mampu memberikan wang belanja lebih untuk orang tua masing-masing disebabkan faktor-faktor tertentu.
Dalam hal ini menurut pandangan Islam, wajibkah bapa memulangkan semula duit anak yang dipinjamnya?
Menurut Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Ustaz Mohd Shamsul Hakim Abd Samad, secara asasnya, agama suci kita menetapkan harta adalah hak individu yang perlu dihormati sama ia milik ayah atau anak.
Pendek kata, jika seorang ayah meminjam daripada seorang anak, ia tetap dianggap hutang yang wajib dilunaskan.
Mengulas lanjut, katanya, seorang bapa tidak boleh mengambil harta anak-anaknya kecuali mereka dalam keadaan yang sangat memerlukan.
“Andai kata seorang ayah itu ada kemampuan untuk membayar (harta anak yang dipinjam), maka dia wajib memulangkannya kembali.
“Kita tak boleh kata ‘eh, ini anak aku, maka halalkan saja’. Ini kerana Islam telah menetapkan, setiap daripada nyawa, harta mahupun maruah diri kita, ia adalah sesuatu yang perlu dihormati sebagai hak setiap individu tersebut,” katanya kepada Sinar Islam Plus pada Khamis.
Sekiranya seorang bapa berhutang dengan anak dan tidak melunaskannya, jelas Ustaz Mohd Shamsul Hakim, ayah itu sebenarnya tidak memulangkan hak yang telah dipinjam daripada anaknya (hartanya).
“Ia melainkan jika anak tadi menghalalkan pinjaman yang telah diberikan kepada ayahnya.
“Perbuatan anak yang menghalalkan hutang ayah kepadanya termasuk dalam anjuran Islam iaitu berbakti kepada ibu dan ayah,” terangnya.
Ketahuilah bahawa perlakuan tersebut merupakan kebaikan yang besar ganjarannya di sisi ALLAH SWT, ungkapnya lagi.
“Itu dari satu sudut yang lain. Namun begitu, hukum asalnya, jika si anak menuntut (hutang) daripada seorang ayah, maka dia perlu menjelaskan hutang tersebut sepertimana yang dipinta kerana ia sememangnya hak anak untuk menuntutnya kembali.
“Begitupun, berbuat ihsan dengan menghalalkan hutang tersebut adalah sesuatu yang paling baik. Mudah-mudahan ia dikira sebagai amal soleh seorang anak terhadap ayahnya,” katanya.
Meskipun ada sebuah hadis masyhur riwayat Ibnu Majah yang memerihalkan bahawa ‘kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu’, namun ujar beliau, hadis tersebut tidak boleh dijadikan hujah untuk menghalalkan harta yang diambil atau dipinjam dari si anak.
Ia disebabkan kedudukan nas tersebut berstatus lemah (daif).
“Ada dalil yang lebih kuat sebagaimana saya nyatakan bahawa setiap orang itu mempunyai kehormatan dan haknya yang tersendiri, pada nyawa, harta dan maruahnya berbanding dengan hujah yang disandarkan kepada riwayat Ibnu Majah tadi,” katanya.
Sekiranya bapa benar-benar tidak mampu melunaskan hutangnya kepada anaknya itu, ujar Ustaz Mohd Shamsul Hakim, ia menjadi hutang yang ditinggalkan buat waris untuk membantu menyelesaikannya selepas ketiadaannya.
“Mudah-mudahan dia dimaafkan oleh ALLAH SWT atas ketidakupayaannya tersebut.
“Jika anak itu masih di bawah saraannya dan mereka memiliki harta sendiri seperti hasil warisan peninggalan daripada ibunya yang sudah meninggal, ayah boleh menggunakannya sekadar yang perlu untuk tujuan keperluan anak tersebut sekiranya dia daripada kalangan yang tidak berkemampuan (tidak berharta).
“Kalau ada ruang untuk ganti, maka gantilah (semula harta anak yang diambil),” titipnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!