Pengarah syarikat barang lusuh didakwa lupus kabel TM

Vikneswary (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan melupuskan kabel tembaga TM.
Vikneswary (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan melupuskan kabel tembaga TM.
A
A
A

MELAKA - Pengarah syarikat barangan lusuh didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas tuduhan melupuskan barang curi iaitu kabel tembaga milik Telekom Malaysia (TM) bernilai RM100,000.

Tertuduh, MB Vikneswary, 38, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja melupuskan harta wayar kabel tembaga milik TM bernilai RM100,000 yang tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai ia adalah harta curi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di daerah Melaka Tengah kira-kira jam 3 petang pada 15 Mei lalu.

Pendakwaan bagi pertuduhan itu dijalankan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Peguam Gaithri Thomas yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah kerana tertuduh menyara dua anak selain ibunya menghidap penyakit diabetes serta darah tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos depan untuk serahan dokumen.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!