PRK Sungai Bakap: KDN jamin siasat kes gangguan seksual terhadap wartawan

Saifuddin (dua dari kanan) semasa sidang media di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Sungai Bakap, Pulau Pinang, pada Khamis.
Saifuddin (dua dari kanan) semasa sidang media di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Sungai Bakap, Pulau Pinang, pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan bahawa siasatan sepenuhnya akan dilakukan berhubung kes membabitkan seorang wartawan diganggu secara seksual ketika bertugas.

Saifuddin yang juga merupakan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, sekiranya laporan polis sudah dibuat, kes terbabit akan disiasat mengikut undang-undang sepatutnya.

"Belum sampai kepada saya berita itu, tetapi kalau laporan sudah dibuat, saya nak beri jaminan bahawa ia sepenuhnya di bawah autoriti pasukan polis.

"Gunalah peruntukan undang-undang yang ada, buatlah siasatan secara profesional," katanya semasa sidang media di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di sini pada Khamis.

Dalam kejadian Rabu malam, seorang wartawan wanita yang sedang bertugas sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, didakwa diganggu secara seksual seorang petugas kempen.

Difahamkan, kejadian berlaku semasa mangsa bersama petugas media lain sedang membuat liputan ketika kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Majlis Kasih Bersama Pemimpin di Sungai Kechil sempena PRK di sini pada jam kira-kira 10.40 malam Rabu.

Mangsa dikatakan menyedari perbuatan lelaki terbabit yang berada berdekatan kumpulan petugas media yang sedang membuat liputan majlis berkenaan, kerana dilihat mencurigakan.

Artikel Berkaitan:

Laporan polis dibuat mangsa bertujuan bimbang keselamatan diri memandangkan mangsa perlu menghabiskan tugasan sehingga tamat PRK selain meminta siasatan dibuat agar perbuatan sama tidak berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Chong Boo Khim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!