Dari Gombak ke Sungai Besi bantu keluarga susah

Sukarelawan Dana Kita yang membantu membersihkan rumah keluarga tersebut. -Foto FB Dana Kita.
Sukarelawan Dana Kita yang membantu membersihkan rumah keluarga tersebut. -Foto FB Dana Kita.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bukan anak murid, bukan juga jiran namun kegigihan seorang guru datang dari Gombak ke Sungai Besi membantu sebuah keluarga yang dalam kesusahan harus dicontohi.

Mohd Fadli Mohamed Salleh, 36, berkata, dia dimaklumkan masalah kesempitan hidup pasangan suami isteri dengan empat anak yang masih bersekolah itu daripada salah seorang jiran mereka yang prihatin.

Menurutnya, keluarga itu terputus bekalan air sejak tiga bulan lalu selepas dipotong bekalan kerana masalah tunggakan sewa mencecah RM9,000.

"Sepanjang tempoh itu, anak-anak mereka menumpang mandi di rumah jiran setiap pagi untuk ke sekolah.

"Ibunya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hotel di Ampang sementara bapanya tidak bekerja kerana menghadapi masalah asma yang kronik," katanya.

Terdahulu Mohd Fadli menerusi Facebook Dana Kita berkongsi kisah membantu keluarga tersebut baru-baru ini.

Mereka membantu keluarga itu menyelesaikan masalah tunggakan sebanyak RM5,000 dan membersihkan rumah yang dipenuhi sampah kitar semula bersama sukarelawan dipanggil gerila Dana Kita.

Mohd Fadli berkata, mereka memperuntukkan tiga hari pada hari hujung minggu untuk kerja pembersihan rumah tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Rumah mereka bagai tongkang pecah dipenuhi barang kitar semula yang dikumpul oleh ayahnya untuk dijual bagi mendatangkan duit.

"Kami berjaya bantu mereka dapat bekalan air dan rumah mereka bebas dari sampah sarap. Dindingnya kami cat semula dan tingkapnya dipasang langsir. Kami letak tikar, bantal dan tilam baru juga diberi.

"Sempena Tahun Baru Cina kali ini, keluarga ini dapat menyambutnya dengan kemeriahan yang sangat berbeza. Yang sudah bertahun-tahun mereka tidak kecapi. Yang bertahun-tahun tiada siapa peduli," kongsinya.

Katanya, walau berbeza agama namun itu bukan penghalang buatnya menghulurkan bantuan atas dasar kemanusiaan.

"Sebenarnya ia peranan kita sebagai anggota masyarakat untuk mengambil berat tentang orang sekeliling kita tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.

"Anak-anak ini bukan anak murid saya, rumah mereka jauh dari rumah saya. Namun sebaik mendapat tahu kesusahan mereka, saya turun membantu sebagai seorang insan.

"Bukan sebagai guru, bukan sebagai badan bukan kerajaan, bukan sebagai sesiapa. Asasnya pertolongan itu atas sifat insani yang tinggi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!