PRK Sungai Bakap: Undi calon bersama kerajaan

Mohamad (tiga kiri) selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-45 Pertubuhan Peladang Kawasan Rembau di sini pada Khamis.
Mohamad (tiga kiri) selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-45 Pertubuhan Peladang Kawasan Rembau di sini pada Khamis.
A
A
A

REMBAU - Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap diharap memilih calon yang bersama dengan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini supaya wakil rakyat berkenaan boleh membawa suara mereka lebih efektif.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, DUN Sungai Bakap ini jika kalah atau menang pun tidak akan mengubah kerajaan negeri termasuk Kerajaan Persekutuan.

"Adalah lebih baik jika orang Sungai Bakap mengundi calon yang bersama dengan kerajaan negeri kerana di situ nanti akan ada dapat platform.

"Wakil mereka yang boleh membawa suara mereka yang lebih efektif, bukan kata tak boleh bawa suara tetapi lebih efektif. Jika bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, kalau ada apa-apa masalah wakil rakyat boleh membawa dengan lebih efektif lagi. Undilah dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai merasmikan Mesyuarat Agung ke-45 Pertubuhan Peladang Kawasan Rembau di sini pada Khamis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

PRK ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail.

Mohamad yang juga Menteri Luar turut meluahkan keyakinannya bahawa rakyat Sungai Bakap telah pun membuat keputusan yang bijak.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun banyak fitnah, musim pilihan raya ini kan, tuduhan, kecaman macam-macam tapi jangan kita terlena dengan lagu-lagu yang baik-baik tetapi akhirnya tidak menjadi kenyataan.

"Saya yakin Kerajaan Perpaduan punya calon boleh menang, daripada susunan gerak kerja yang saya lihat, saya tengokkan body language penduduk di situ akan memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan," katanya.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.