LKAN: Pengurusan air negara belum capai objektif, kadar NRW masih tinggi

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/2024 mendedahkan tahap pengurusan air negara masih tidak mencapai objektif kerana lewat daripada tempoh jadual asal yang ditetapkan. - Gambar hiasan
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/2024 mendedahkan tahap pengurusan air negara masih tidak mencapai objektif kerana lewat daripada tempoh jadual asal yang ditetapkan. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/2024 mendedahkan tahap pengurusan air negara masih tidak mencapai objektif kerana lewat daripada tempoh jadual asal yang ditetapkan.

Dalam kenyataan Jabatan Audit Negara berkata, keputusan itu melibatkan skop pengauditan, pencapaian prestasi penyiapan projek fizikal dan program pembangunan sumber air, bekalan air terawat serta kualiti air.

Laporan itu memaklumkan, pengurusan punca pencemaran dan kualiti tidak mencapai sasaran ditetapkan serta pengurangan peratusan air tidak berhasil juga tidak dicapai kerana kadar Air Tidak Berhasil (NRW) masih lagi tinggi.

Tambah kenyataan tersebut Kecekapan Air dan Pelan Kelestarian Alam Sekitar menetapkan sasaran peratusan NRW seluruh negara adalah sebanyak 35 peratus pada 2020 dan seterusnya berkurangan kepada 32 peratus tahun lalu.

Semakan Audit mendapati pencapaian NRW Kebangsaan yang dicatatkan bagi tahun 2022 adalah 34.4 peratus yang melibatkan Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

Menurut laporan berkenaan, empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Sabah dan Kelantan tidak mencapai sasaran NRW ditetapkan bagi tempoh 2016 hingga 2022 kerana rangkaian paip untuk agihan digunakan mempunyai jangka hayat terhad, berketahanan rendah dan mudah pecah.

Dalam pada itu, liputan bekalan air terawat di negeri Kelantan adalah terendah iaitu pada tahap 73.9 peratus, seterusnya Sabah (81 peratus) dan Sarawak (83.6 peratus) manakala, hanya dua negeri mencapai tahap liputan bekalan air terawat 100 peratus iaitu Melaka dan WP Labuan.

Mengulas lanjut berkenaan projek peningkatan kualiti air, kelewatan pelaksanaan bagi 11 projek dilaporkan berlaku membabitkan 34 projek JPP iaitu dua di Pahang, Perak dan Pulau Pinang serta satu di Kedah, manakala empat di Sabah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jumlah kos projek yang lewat bernilai RM4.685 bilion, manakala jumlah kos projek yang lewat bagi 129 projek SPAN adalah RM68.16 juta.

Susulan daripada itu Jabatan Audit Negara mencadangkan agar peningkatan pemantauan terhadap penyiapan projek dan program pembangunan, naik taraf bagi sumber air, bekalan air terawat dan kualiti air dalam tempoh ditetapkan perlu dilaksanakan bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.

"Ia merangkumi projek empangan dan takungan air, projek infrastruktur loji rawatan dan sistem agihan bagi menghasilkan pengeluaran air terawat pada tahap optimum dan membekal air terawat kepada pengguna.

"Selain itu, menguruskan rangkaian agihan air secara efisien bagi mengurangkan pembaziran air tidak berhasil dan meningkatkan kecekapan penggunaan air terawat," katanya.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/2024 mendedahkan tahap pengurusan air negara masih tidak mencapai objektif kerana lewat daripada tempoh jadual asal yang ditetapkan. Gambar hiasan
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/2024 mendedahkan tahap pengurusan air negara masih tidak mencapai objektif kerana lewat daripada tempoh jadual asal yang ditetapkan. Gambar hiasan

Tambahnya, liputan sistem pembetungan bersambung di semua negeri diperluas bagi memastikan rawatan berkualiti terhadap air sisa serta menambah baik penyenggaraan beban pencemaran kumbahan tidak bersambung bagi mengelakkan jangkitan penyakit bawaan air.

Menurut laporan itu, pemerkasaan Dasar Sumber Air Negara lebih komprehensif perlu dilaksana dan memastikan hasil kajian berkaitan sumber air yang berpotensi memberi manfaat dilaksanakan di kawasan yang telah dikenal pasti untuk menjamin kelestarian air.

"Peningkatkan kawalan terhadap punca pencemaran dan parameter rawatan dengan lebih berkesan bagi menjamin kualiti air bertambah baik serta menetapkan punca kuasa yang jelas bagi tujuan tindakan penguatkuasaan aktiviti punca pencemaran berdasarkan bidang kuasa agensi yang berkaitan untuk mengelakkan pembuangan air sisa tidak terawat.

"Pemantapan peranan tadbir urus kolaboratif antara MAN dan JKPSAN serta penglibatan bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jabatan atau agensi masing-masing sebagai platform membincang dan menyelesaikan isu air," tambah laporan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!