PETRA pandang serius teguran terhadap pengurusan air negara - Fadillah

Fadillah bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Peluncuran Banci Pertanian 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), pada Khamis. Foto Bernama
Fadillah bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Peluncuran Banci Pertanian 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memandang serius teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 berhubung pengurusan air negara.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, PETRA mempunyai pasukan untuk melihat segala laporan termasuk LKAN berhubung kait dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau berkata, Ketua Setiausaha (KSU) PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli akan mengetuai pasukan itu dan mengambil tindakan terhadap setiap teguran berhubung isu air negara.

"KSU sendiri akan mengetuai untuk pastikan segala teguran audit diambil tindakan dan diharapkan tidak akan berulang untuk masa-masa akan datang," katanya.

Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 antaranya melaporkan sembilan pengauditan melibatkan 11 kementerian dengan kos keseluruhan diaudit berjumlah RM41.97 bilion dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Antara perkara berbangkit yang berkaitan dengan pengurusan air negara adalah 145 daripada 712 projek pembangunan infrastruktur air didapati lewat daripada jadual asal antara 86 hingga 1,076 hari, melibatkan kos berjumlah RM6.150 bilion.

Turut dibangkitkan sasaran 13.5 peratus Rizab Margin Air Terawat Kebangsaan tidak dapat dicapai oleh empat negeri sampel yang dilawati pada 2022.

Turut ditekankan dalam laporan itu ialah Air Tidak Berhasil (NRW) yang mendapati sasaran 35 peratus pada 2020 dan 32 peratus pada 2023 tidak tercapai.

Artikel Berkaitan:

"Kadar NRW bagi negeri sampel Kedah, Kelantan, Perlis dan Sabah tidak mencapai sasaran kebangsaan iaitu 51.5 peratus hingga 61.5 peratus pada 2022," menurut laporan itu.

Sehubungan itu, Jabatan Audit Negara memberi syor kepada PETRA dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam agar meningkatkan pemantauan terhadap penyiapan projek dan program pembangunan dan naik taraf bagi sumber air, bekalan air terawat dan kualiti air dalam tempoh ditetapkan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!