Dua individu didenda RM50,000 miliki diesel tanpa lesen

Mahkamah turut memerintahkan hukuman tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
A
A
A

SEREMBAN - Dua individu masing-masing didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas kesalahan memiliki 43,069 liter diesel tanpa lesen, dua tahun lalu.

Hakim, Mazni Nawi menjatuhkan hukuman itu terhadap Liew Vi Hong, 25, dan Kong Wai Loon, 31, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama didapati ada dalam kawalan barang kawalan berjadual iaitu diesel sebanyak 43,069 liter dalam keadaan menimbulkan syak, berurusan dengan diesel secara borong tanpa lesen.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Lombong Emas 1, Taman Perindustrian Ringan Seremban di sini, pada jam 9.58 malam November 2022.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Nor Alimah Mohd Sanusi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!