Saifuddin jawab dakwaan kempen PN diintip berlebihan

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto FB KDN
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto FB KDN
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menolak dakwaan berlaku penyalahgunaan kuasa anggota keselamatan terhadap kempen Perikatan Nasional (PN) termasuk diintip secara berlebihan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Menurutnya, tohmahan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim dilihat bertujuan untuk menunjukkan tidak wujud keadilan dari segi kempen yang dijalankan oleh pihak pembangkang.

Beliau berkata, sepanjang 22 Jun sehingga 4 Julai, sebanyak 153 permit telah diluluskan oleh pihak polis bagi semua pihak baik Pakatan Harapan (PH) dan PN.

"Tidak ada satu pun permohonan ditolak dan semua diberikan. Maknanya tidak ada sebarang halangan dan kekangan.

“Ini dengan sendiri menjawab dakwaan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim bahawa kempen bagi PN seolah-oleh terkongkong, semacam diintip secara berlebihan.

“Saya menolak tohmahan tersebut kerana fakta dibentang adalah keadaan adalah tenteram dan aman,” katanya pada sidang akhbar di Sungai Bakap pada Khamis.

Jelas Saifuddin, buat masa sekarang sebanyak 835 anggota telah dikerah sehingga hari pembuangan undi pada Sabtu ini.

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga mewujudkan pasukan pemantau melibatkan pelbagai agensi termasuk wakil daripada parti-parti yang bertanding.

Artikel Berkaitan:

“Mereka yang akan pergi memantau kempen-kempen dan jika ada pelanggaran, maka mereka yang akan mengambil tindakan.

"Menjelang 48 jam terakhir, berikan kepercayaan penuh kepada pihak keselatamatan dan secara keseluruhannya telah berjalan dengan baik.

“Perkara ini penting untuk memberikan keyakinan kepada pengundi Sungai Bakap bahawa pada 6 Julai nanti tidak perlu rasa bimbang dan takut, mereka patut keluar beramai-ramai kerana jaminan keselamatan telah diberikan oleh polis, tunaikan tanggungjawab dengan keluar awal pagi,” ujarnya lagi.

Pada 27 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan Tuan Ibrahim mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa anggota keselamatan dalam beberapa siri kempen pilihan raya termasuk yang sedang berlaku di DUN Sungai Bakap.

Menurutnya, anggota polis diarahkan ke tempat ceramah pembangkang untuk merakam dan mengambil gambar di kawasan berkenaan selain turut memantau bilik-bilik gerakan parti bertanding.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.