Ahmad Zahid lancar Latihan Pemerkasaan Pendidik Mara

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Hari Anugerah Pendidikan Mara 2024 di sebuah hotel di sini pada Khamis. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Hari Anugerah Pendidikan Mara 2024 di sebuah hotel di sini pada Khamis. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendidik Majlis Amanah Rakyat (Mara) berpeluang untuk mengikuti Skim Latihan Pemerkasaan Pendidik Mara bagi tujuan mempertingkatkan fokus terhadap pemerkasaan pedagogi, penguasaan kandungan pengajaran dan kepimpinan instruksional.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Mara telah memutuskan untuk menghantar tenaga pendidik berkenaan ke lima buah negara antaranya Finland, Jepun, Jerman, China dan Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, kursus yang dikenal pasti memfokuskan kepada bidang pedagogi, pengajaran inovatif, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kepimpinan pendidikan.

“Kami telah mengenal pasti beberapa tenaga pengajar yang akan dihantar. Seramai 19 pendidik Mara telah dipilih untuk mengikuti pendidikan lanjutan TVET ke China dan akan dihantar bermula bulan ini hingga September.

“Ini merupakan skim baharu yang diperkenalkan semata-mata untuk memberikan pendedahan dan motivasi kepada pendidik Mara untuk terus memperlihatkan prestasi mereka cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Hari Anugerah Pendidik Mara 2024 yang berlangsung di Hotel Premiera pada Khamis.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat dari kiri) menyampaikan Anugerah Khas Pendidik Mara kepada Mohd Khairis Harun pada Majlis Hari Anugerah Pendidikan Mara 2024 di sebuah hotel di sini pada Khamis. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat dari kiri) menyampaikan Anugerah Khas Pendidik Mara kepada Mohd Khairis Harun pada Majlis Hari Anugerah Pendidikan Mara 2024 di sebuah hotel di sini pada Khamis. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, skim berkenaan dilancarkan juga bertujuan untuk pendidik mara menjadi tenaga pengajar dalam Skim Training For Trainers yang boleh mengajar pelajar dan pendidik lain.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya mengenai sorotan skim berkenaan, beliau berkata, pihaknya akan meneliti keberkesanan penghantaran kumpulan pertama itu.

“Kita akan guna dana dalaman yang ada pada Mara untuk menghantar lebih ramai dalam kalangan mereka.

“Ia bergantung kepada tempat pengajian yang ditawarkan dan kerjasama daripada institusi pendidikan tinggi luar negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan skim berkenaan menawarkan kursus jangka pendek dan panjang dan ia bergantung kepada bidang yang dipelajari.

Mengulas mengenai Hari Anugerah Pendidik Mara 2024, Ahmad Zahid memberitahu, ia merupakan inisiatif Mara dalam memberi pengiktirafan terhadap pencapaian para penduduk yang telah mencipta kecemerlangan untuk menyumbang kepada agenda pembangunan negara.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) peruntukan pembangunan bagi Rolling Plan Keempat Tahun 2024 (RP4 2024) sebanyak RM2.5 bilion telah diluluskan untuk Mara.

“Daripada jumlah ini, pendidikan merupakan sektor utama Mara menerima peruntukan pembangunan tertinggi dengan 94.20 peratus (RM2.39 bilion) bagi tujuan menaik taraf pusat, penyelenggaraan, perolehan teknologi maklumat, pembelian peralatan dan kelengkapan dengan melibatkan 255 projek,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!