Pelanggan digesa terus berwaspada terhadap penipuan digital - ABM

ABM menggesa para pelanggan supaya terus berwaspada terhadap penipuan khususnya yang menyasarkan pengguna di platform digital. Gambar hiasan
ABM menggesa para pelanggan supaya terus berwaspada terhadap penipuan khususnya yang menyasarkan pengguna di platform digital. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menggesa para pelanggan supaya terus berwaspada terhadap penipuan khususnya yang menyasarkan pengguna di platform digital.

Menerusi satu kenyataan bersama Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) pada Khamis, ABM memberi amaran bahawa penipu biasanya menggunakan taktik 'kejuruteraan sosial' untuk memanipulasi pengguna supaya mengklik pautan yang berniat jahat atau mendedahkan maklumat sulit, seperti bukti kelayakan perbankan dalam talian.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan susulan tinjauan oleh ABM dan AIBIM pada Mac 2024, bertajuk "Pendapat Awam tentang Tinjauan Penipuan" yang menunjukkan peningkatan ketara kesedaran tentang penipuan dan cerapan yang menarik tentang sikap pelanggan terhadap kesedaran komunikasi mengenai enipuan bank.

Kedua-dua persatuan bank itu turut menasihati pelanggan supaya melindungi diri mereka daripada penipuan dengan mengelakkan hiperpautan daripada nombor yang tidak dikenali dan tidak memuat turun sebarang aplikasi daripada pautan, terutamanya pada aplikasi pemesejan seperti Telegram dan WhatsApp.

"Muat turun hanya aplikasi daripada aplikasi rasmi seperti Apple App Store dan Google Playstore,” kata kenyataan itu.

Selain itu, persatuan terbabit berkata, pelanggan tidak boleh berkongsi nama pengguna dan kata laluan perbankan mereka dengan sesiapa sahaja, termasuk rakan dan ahli keluarga, dan tidak melayan panggilan telefon atau mesej daripada nombor telefon mudah alih yang tidak dikenali.

Menurut kenyataan itu, ABM, AIBIM dan ahli-ahli bank mereka akan bekerjasama lebih rapat dengan agensi penguatkuasaan undang-undang, badan kerajaan dan pengawal selia kewangan bagi mengingatkan para pelanggan supaya berwaspada semasa menjalankan transaksi kewangan.

Berkenaan tinjauan itu, ia menyatakan bahawa peningkatan kesedaran dan pemahaman tentang penipuan serta modus operandi penipu dalam kalangan pelanggan membawa kepada kejayaan tinggi dalam usaha mengelak penipuan.

Artikel Berkaitan:

"Lebih 50 peratus responden menyatakan bahawa mereka berinteraksi dengan usaha komunikasi bank manakala 69 peratus responden berpendapat prestasi bank Malaysia dalam menyebarkan kesedaran berkesan, menandakan pelanggan lebih menghargai usaha komunikasi bank secara keseluruhan,” kata kenyataan itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!