Kesuma disyor rujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan

Laporan Ketua Audit Negara.
Laporan Ketua Audit Negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) disyorkan merujuk pengurusan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, Kesuma perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

"Ia termasuk salah urus ratusan juta ringgit melibatkan geran latihan, pelaburan dan pembelian hartanah.

“Secara keseluruhannya amalan tadbir urus korporat HRD Corp adalah tidak memuaskan.

"Terdapat tindakan dan keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat,” kata Wan Suraya dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang diterbitkan pada Khamis.

Menurutnya, dapatan itu diperoleh hasil pengauditan itu yang dijalankan antara Ogos 2023 hingga Mac lalu dan HRD Corp sudah menyatakan maklum balas dalam mesyuarat penutup pada 3 Mei lalu.

"Sejumlah RM4.81 juta baki geran kerajaan pada 2020 tidak digunakan dan belum dikembalikan kepada kerajaan, selain sebanyak 62 permohonan levi berjumlah RM1.68 juta diluluskan selepas tarikh latihan serta baki levi tertunggak berjumlah RM205.42 juta setakat 31 Disember lalu.

"Selain seramai 3,726 peserta Skim Gerak Insan Gemilang mengikuti latihan lebih daripada sekali di bawah skim sama dengan membabitkan bayaran berjumlah RM51.69 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, LKAN turut mendapati sebanyak 234 permohonan peserta Skim Gerak Insan Gemilang meragukan kerana mempunyai nama dan nombor kad pengenalan sama, selain 29 transaksi pelaburan mencatatkan kerugian tidak nyata berjumlah RM49.38 juta.

Katanya, proses pembayaran deposit bagi pembelian hartanah Menara Ikhlas berjumlah RM120 juta dikesan tidak teratur kerana tidak selaras dengan klausa perjanjian walaupun deposit dikembalikan dan tujuh daripada sembilan elemen tadbir urus korporat tidak diamalkan sepenuhnya.