Projek RoL gagal siap ikut jadual
SHAH ALAM - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mendedahkan, projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) tidak akan berjaya disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan iaitu pada tahun ini, meskipun sebanyak RM3.915 bilion telah dibelanjakan.
Pengauditan projek bernilai tinggi tersebut tertumpu kepada prestasi dan pengurusan projek di bawah komponen pembersihan dan pengindahan sungai serta pembangunan tanah dalam kawasan RoL.
"Sehingga Julai 2023, lapan projek masih dalam pelaksanaan dengan kemajuan di tapak antara 21 hingga 97.3 peratus yang mana kontraktor penyiap belum dilantik untuk dua projek yang ditamatkan kontrak dan 12 projek masih belum dimulakan (pra-pelaksanaan).
"Analisis audit turut mendapati hanya 79.4 peratus kerja pengindahan sungai telah disiapkan dan hanya 50 (16.9 peratus) daripada 296 loji rawatan kumbahan berjaya dirasionalisasi atau dinaik taraf.
"Selain itu, analisis terhadap tempoh projek pula menunjukkan projek lewat disiapkan sehingga melebihi lapan tahun dengan peningkatan kos kepada kerajaan," kata laporan itu pada Khamis.
Pembangunan RoL merupakan salah satu projek di bawah Program Transformasi Ekonomi diperkenalkan pada tahun 2010 dengan kos siling berjumlah RM4.363 bilion bertujuan mentransformasikan Sungai Gombak dan Sungai Klang kepada ikon waterfront yang dinamik dan berdaya huni dengan nilai ekonomi tinggi.
Kawasan itu merangkumi 110 kilometer (km) Lembangan Sungai Klang dan dijangka siap pada tahun ini.
Tambah laporan itu lagi, hasrat kerajaan untuk mendapatkan pulangan sehingga RM4 bilion bagi membiayai kos pelaksanaan RoL dan mengelakkan penggunaan dana awam juga tidak tercapai kerana hasil penjualan tanah tertakluk kepada pemilik masing-masing.
Selain itu, laporan itu turut mendedahkan model perniagaan yang tidak komprehensif telah menyebabkan penyenggaraan dan aktiviti RoL masih bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan.
"Kekurangan ini juga menyebabkan aset RoL tidak disenggara sewajarnya, terbiar, rosak dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
"Pengauditan juga menemui kelemahan dalam aspek tatakelola projek merangkumi perancangan, pemantauan perbelanjaan, penyediaan reka bentuk, pelantikan perunding dan pelaksanaan projek," katanya.
Sementara itu, laporan tersebut turut mengesyorkan beberapa langkah kepada Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri dalam memastikan projek tersebut mencapai objektif antaranya melaksanakan penilaian semula.
Penilaian semula itu katanya untuk menentukan sama ada projek yang masih dalam peringkat pra pelaksanaan perlu diteruskan dengan mengambil kira aspek peruntukan kewangan untuk pelaksanaan dan penyenggaraan projek serta sumbangan projek berkenaan kepada pencapaian objektif RoL.
@sinarharianonline Projek River of Life gagal siap seperti dirancang Muzik: Theatre of Delays - Black Sea - No Drums Version #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #BuletinTikTok #Semasa #RoL #Projek #SungaiNadiKehidupan #RiverOfLife #Audit #Laporan
original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!