Seludup arak di sebalik brokoli, kubis

Norlela (dua dari kiri) menunjukkan rampasan rokok dan minuman keras yang dibuat JKDM di sekitar Lembah Klang, Jun lalu.
Norlela (dua dari kiri) menunjukkan rampasan rokok dan minuman keras yang dibuat JKDM di sekitar Lembah Klang, Jun lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - Kelicikan sindiket penyeludupan minuman keras yang mengikrar barangan sebagai sayuran dibongkar menerusi penahanan dua kontena di Pelabuhan Utara, Klang.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, rampasan dibuat kira-kira jam 11.30 malam, 13 Jun lalu oleh sepasukan Bahagian Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit 1.

Menurutnya, pemeriksaan di dua kontena terbabit menemui 8,600 liter minuman keras dipercayai dari China bernilai RM160,300 termasuk cukai dan duti.

Paparan gambar kontena dan sayuran brokoli susulan pembongkaran sindiket penyeludupan minuman keras, di Pelabuhan Klang, 13 Jun lalu.
Paparan gambar kontena dan sayuran brokoli susulan pembongkaran sindiket penyeludupan minuman keras, di Pelabuhan Klang, 13 Jun lalu.

"Modus operandi sindiket adalah membuat isytihar palsu sebagai barangan sayuran di borang manifesto bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Sindiket telah menyorokkan muatan minuman keras itu di sebalik sayuran import antaranya brokoli dan kubis," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kelana Jaya di sini pada Khamis.

Beliau berkata, berikutan itu seorang wakil perkapalan telah dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam kes berlainan, Norlela memberitahu, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) JKDM Zon Tengah Unit 1 berjaya mematahkan sindiket dengan rampasan 1,566,000 batang rokok putih dan kretek berjumlah RM1.35 juta termasuk duti dan cukai, pada 19 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Norlela (empat dari kiri) menunjukkan rampasan rokok dan minuman keras yang dibuat JKDM di sekitar Lembah Klang, Jun lalu.
Norlela (empat dari kiri) menunjukkan rampasan rokok dan minuman keras yang dibuat JKDM di sekitar Lembah Klang, Jun lalu.

Tambahnya, serbuan dilakukan di sebuah gudang terbiar terletak di kawasan kilang di Batu 11, Cheras.

"Sindiket ini dipercayai menggunakan setem cukai disyaki palsu di beberapa jenama rokok yang dirampas bagi mengaburi pihak berkuasa.

"JKDM percaya rokok dari negara jiran itu untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan dibawa masuk melalui pintu masuk sah, namun mengikrar barang dagangan sebagai barang sah," ujarnya.

Tegasnya, JKDM menyeru orang awam untuk salurkan maklumat sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!