Langgar etika: DKPP Indonesia pecat Hashim Asy'ari sebagai Pengerusi KPU
JAKARTA - Majlis Etika Organisasi Pilihan Raya (DKPP) Indonesia telah memecat Hasyim Asy’ari daripada jawatannya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU), atas tuduhan melanggar etika profesional.
Keputusan itu disampaikan oleh Pengerusi DKPP, Heddy Lugito semasa perbicaraan di Pejabat DKPP pada Rabu, yang beliau menyatakan, "untuk mengenakan hukuman pemecatan tetap kepada tertuduh Hasyim Asy’ari berkuat kuasa daripada pembacaan keputusan ini”.
Keputusan Majlis mendapati Hasyim bersalah mengabaikan prinsip profesionalisme dan gagal mengekalkan standard kesederhanaan dan etika.
Heddy menjelaskan semasa prosiding bahawa Hasyim menghadapi tuduhan daripada seorang wanita dikenali sebagai CAT, yang merupakan ahli Jawatankuasa Pilihan Raya Luar Negara KPU di The Hague, Belanda.
CAT menuduh Hasyim mengutamakan kepentingan peribadi dan memberikan layanan istimewa kepadanya serta mendakwa Hasyim menyalahgunakan kuasanya untuk meneruskan hubungan peribadi dengannya.
Seorang anggota Majlis, Muhammad Tio Aliansyah menyatakan, "Tertuduh didapati gagal mengekalkan keseimbangan antara kepentingan peribadi dan tugas awam, mencampurkan kehendak peribadi dengan tanggungjawab rasmi.”
DKPP telah meminta Presiden Joko Widodo untuk mengambil tindakan susulan terhadap keputusan itu dalam tempoh tujuh hari dari pengumumannya.
Media tempatan melaporkan bahawa Hasyim mengucapkan terima kasih kepada DKPP semasa sidang media ringkas di Bangunan KPU, menyatakan rasa lega kerana dibebaskan daripada tugasnya sebagai anggota suruhanjaya pilihan raya.
Bercakap di Pejabat DKPP, CAT, yang melakukan perjalanan dari Belanda ke Jakarta untuk menghadiri perbicaraan secara peribadi, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada DKPP atas keputusan berani dan adil mereka dalam kesnya.
"Saya mengalami banyak suka duka dari awal hingga sekarang, yang kadang-kadang saya merasa keliru, tetapi saya ditemani oleh pasukan undang-undang yang sangat kompeten. Jadi, kami telah mencapai keputusan yang ditentukan hari ini,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!