Lelaki dera anjing direkod keterangan - Veterinar
PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah merekodkan keterangan seorang lelaki dipercayai mendera anjing baka Husky di sebuah kondominium di Kajang.
DVS dalam kenyataan berkata, aduan rasmi telah diterima pihaknya pada Isnin lalu sebelum pemeriksaan awal dibuat pada jam 11 pagi, keesokannya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati anjing Husky tersebut telah dibawa keluar oleh orang awam dari lokasi kejadian ke klinik haiwan swasta yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya sebelum pihaknya mengambil haiwan itu untuk siasatan dan pemeriksaan lanjut oleh Pegawai Veterinar.
"Kertas siasatan telah dibuka untuk siasatan di bawah Perenggan 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772].
"Sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya," katanya pada Khamis.
Tambah DVS, kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan selanjutnya.
"Selain itu, DVS juga ingin menegaskan bahawa DVS tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keadaan anjing Husky sebelum ini seperti mana yang ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial.
"DVS memandang serius tindakan mana-mana individu yang membuat tuduhan palsu di rangkaian media dan aplikasi sosial," ujarnya.
Justeru, DVS berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut termasuk melibatkan sudut perundangan terhadap pihak yang terlibat dengan perkara sedemikian.
"Sebarang aduan berhubung kebajikan haiwan boleh disalurkan kepada DVS melalui pautan awa.dvs.gov.my (MyAnimalWelfare)," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!