Aswaja sokong penuh RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024

Zamihan
Zamihan
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) Malaysia memberikan sokongan penuh Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 bagi memperkasakan lagi pengurusan hal ehwal Islam.

Presidennya, Zamihan Mat Zin Al Ghari berkata, RUU yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar itu dapat memelihara semangat Persekutuan di negara ini

"Selain itu, pindaan ini juga dapat terus memartabatkan institusi raja-raja Melayu dan memelihara adat istiadat serta mengekang unsur kesesatan dan ekstremis agama di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Zamihan berkata, usaha terhadap pindaan itu diyakini dapat dilaksanakan di Wilayah Persekutuan.

"Muslim yang berkepentingan dan menganut aliran yang menyeleweng sahaja yang menolak RUU ini," tegas beliau.

Media sebelum ini melaporkan, RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Rabu, antara lain untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan.

Menurut naskhah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rang undang-undang itu antara lain memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, tata cara mengeluarkan fatwa, pendapat berhubung hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat.

Menerusi rang undang-undang itu, ia juga memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!