LKAN: Kaji semula kewujudan i2M Ventures

i2M Ventures tidak mencapai objektif penubuhan mengikut mandat yang diluluskan kerajaan.
i2M Ventures tidak mencapai objektif penubuhan mengikut mandat yang diluluskan kerajaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/2024 mengesyorkan kajian semula terhadap kewujudan i2M Venture Sdn Bhd (i2M Ventures) sama ada masih relevan setelah melunaskan semua komitmen dengan pelabur Perkhidmatan Global Iskandar (GBS Iskandar) pada 2025.

Menurut laporan itu, syarikat berkenaan ditugaskan untuk mempromosikan, memasarkan dan menguruskan perniagaan di Wilayah Iskandar Puteri, Johor, namun tidak mencapai objektif penubuhan mengikut mandat yang diluluskan kerajaan.

“Petunjuk prestasi utama (KPI) program GBS Iskandar itu tidak tercapai disebabkan kurang peluang perniagaan, kemudahan asas dan pusat rekreasi bagi menarik minat pekerja serta bilangan pekerjaan pada peringkat awal,” kata laporan itu pada Khamis.

Tambah LAKN itu, semakan audit mendapati sebanyak 6,518 atau 46.7 peratus peluang pekerjaan diwujudkan oleh 30 syarikat pelabur.

Jelas laporan itu, pencapaian pelaburan yang dijanjikan berjumlah RM2.667 bilion atau 41 peratus berbanding sasaran RM6.5 bilion.

Dalam laporan sama, 18 pelabur GBS Iskandar telah tamat perjanjian, namun hanya dua pelabur sahaja yang didapati mencapai sasaran ditetapkan.

“Sementara itu, tiga pelabur langsung tidak mencapai sasaran ditetapkan dengan satu pelabur ditamatkan perjanjian dalam tempoh satu tahun selepas perjanjian dimeterai.

“Seterusnya, 13 daripada 18 pula, pencapaian sebenar berbanding sasaran ditetapkan antara 5.5 peratus hingga 91.7 peratus,” ujar laporan itu.

Artikel Berkaitan:

Justeru, LKAN turut mengesyorkan agar Iskandar Investment dan Iskandar Investment Berhad Ventures mempergiatkan usaha mempromosi Wilayah Iskandar Puteru agar KPI program tercapai.