PRK Sungai Bakap: Lelaki didakwa lakukan gangguan seksual ketika kempen ditahan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Polis Pulau Pinang mengesahkan telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wartawan wanita, ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad yang mengesahkan penahanan lelaki itu berkata, suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), hari ini.

"Lelaki itu kini direman selama dua hari untuk siasatan lanjut kes tersebut dan polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara terperinci serta telus,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Difahamkan dakwaan gangguan seksual tersebut berlaku di Dewan Khairat Sungai Kecil malam tadi, ketika wartawan wanita itu sedang membuat liputan program membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden Umno.

Insiden gangguan seksual itu didakwa telah dilihat beberapa pengamal media lain, sebelum lelaki yang mendakwa dirinya petugas sebuah parti politik itu ditahan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution memberi jaminan akan menyiasat dakwaan gangguan seksual terhadap wartawan wanita itu.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, perkara itu akan diteliti pihaknya, sebaik sahaja mendapat perkembangan berita itu.

"Belum sampai lagi berita itu kepada saya, mungkin sebab saya sibuk kempen. Kalau laporan sudah dibuat, saya nak beri jaminan ia sepenuhnya di bawah bidang kuasa pasukan polis.

Artikel Berkaitan:

"Gunalah peruntukan undang-undang yang ada, buatlah siasatan secara profesional serta ikut jalur undang-undang,” katanya pada sidang media PH di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Sungai Bakap di sini pada Khamis.
Turut hadir Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin serta calon PH Dr Joohari Ariffin. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!