Guna lori syarikat e-dagang curi kabel

Lori yang ditahan pihak polis dekat Jalan Persiaran Masjid Seksyen 14 pada Rabu. Gambar kecil: Potongan kabel yang ditemui.
Lori yang ditahan pihak polis dekat Jalan Persiaran Masjid Seksyen 14 pada Rabu. Gambar kecil: Potongan kabel yang ditemui.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pemandu lori sebuah syarikat e-dagang memecut kenderaan itu ketika dikejar polis di Jalan Persiaran Masjid Seksyen 14 di sini, pada Rabu membongkar kegiatan haramnya mencuri kabel sejak empat bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu berlaku ketika unit peronda polis (MPV) IPD Shah Alam membuat rondaan di sekitar lokasi berkenaan.

"Anggota polis bertugas kemudiannya melihat sebuah lori berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum diarahkan untuk berhenti.

"Bagaimanapun lori dinaiki suspek bersama dua rakannya itu dipintas kenderaan polis sebelum kesemua mereka berjaya ditahan kira-kira lima kilometer dari lokasi terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan merupakan lelaki warga tempatan berumur antara 23 hingga 28 tahun.

"Pemeriksaan dijalankan menemui 13 potong kabel bersaiz dua inci dengan panjang antara lapan 8 hingga 12 kaki yang telah dipotong di dalam bahagian belakang lori terbabit.

"Siasatan lanjut ke atas ketiga-tiga suspek itu mendapati kabel berkenaan dicuri di kawasan sekitar tepi jalan Seksyen 3 Shah Alam," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek dapati positif dadah jenis methamphatamine.

"Ketiga-tiga suspek kemudiannya direman tiga hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Mohd Iqbal berkata, dengan tertangkapnya kesemua suspek ini pihaknya telah berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian kabel yang berlaku dalam kawasan Shah Alam.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Siti Fairuz Abdullah di talian 014-6494430," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!