Cadangan 6 lebuh raya baharu, Selangor tunggu keputusan kerajaan Persekutuan

Izham Hashim
Izham Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor sedang meneliti dan menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan Persekutuan berhubung cadangan pembinaan enam lebuh raya baharu di Selangor.

Exco infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, lebuh raya itu ialah Lebuhraya Putrajaya-Bangi (PBE), Lebuhraya Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KL NODE) dan Lebuhraya Senawang KLIA Salak Tinggi (SKLIA).

Menurut Izham, tiga lagi cadangan ialah Lebuhraya Pintasan Lebuhraya Persekutuan (PINTAR), Lebuhraya Kuala Lumpur Shah Alam (KL SKYWAY) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Klang Link (SKL).

“Untuk cadangan pembinaan lebuhraya PBE, kita sedang menunggu keputusan (kelulusan) rasmi daripada kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan projek ini.

“Bagi KL NODE kita masih di peringkat rundingan teknikal antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan syarikat pencadang dan tiga projek sedang dalam penelitian Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, R Rajiv berhubung senarai cadangan lebuh raya baharu yang sedang dipertimbangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada Khamis.

Izham turut menjelaskan status pembinaan Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) juga sedang dinilai semula susulan penambahbaikan yang dilaksana pemaju.

Artikel Berkaitan: