LKAN: Pembinaan balai, kuarters bomba lewat jejas tempoh respons

LKAN: Pembinaan balai, kuarters bomba lewat jejas tempoh respons. Gambar hiasan
LKAN: Pembinaan balai, kuarters bomba lewat jejas tempoh respons. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) disaran memastikan semua projek pembangunan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) siap mengikut tempoh ditetapkan agar perkhidmatan kebombaan tidak terjejas.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 yang dikeluarkan pada Khamis mendedahkan, terdapat dua projek pembinaan BBP dan kuarters tidak dapat disiapkan iaitu di Nabawan serta Pitas di Sabah di mana ia telah dikeluarkan Sijil Perakuan Kerja Tidak Siap (CNC) pada 25 hingga 26 September tahun lepas.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam maklum balas mereka memaklumkan surat peringatan kelewatan kerja telah dikeluarkan kepada kontraktor pada 22 Januari lalu bagi projek di Nabawan dan pihak tersebut turut diarah meningkatkan produktiviti kerja serta menyediakan perancangan pemulihan.

"Bagi projek di Pitas pula, JBPM memaklumkan telah mengeluarkan Arahan Perubahan Kerja kepada kontraktor pada 18 Januari lalu dan projek ini telah diberikan kelulusan EOT No 2 selama 252 hari dengan tarikh siap semasa pada 3 Jun 2024," katanya.

Menurut laporan itu, kelewatan menyiapkan baki kerja pembinaan BBP dan Kuarters Pitas telah menjejaskan masa respons balai terdekat.

Jelasnya, berdasarkan analisis audit bagi tempoh 2020 hingga 2022, daripada 34 insiden kebakaran dan menyelamat di kawasan itu, 32 insiden menyaksikan pasukan JBPM tiba di tempat kejadian melebihi tempoh 10 minit ditetapkan.

"Setakat Disember lepas JBPM masih belum menerima 21 unit kenderaan Compact Fire Rescue Tender (CFRT) seperti dijadualkan menerusi projek pembekalan 150 unit CFRT yang diluluskan pada tahun 2020.

"Ia lewat diterima kerana Jawatankuasa Teknikal, Ujian Pemeriksaan dan Penerimaan yang melakukan ujian ke atas unit pertama kenderaan tersebut bersama pembekal pada 17 hingga 20 Julai 2023 dan mendapati jentera itu tidak mematuhi spesifikasi teknikal ditetapkan dalam perjanjian.

Artikel Berkaitan:

"Selaras perubahan spesifikasi, pembekal telah mengemukakan jadual pembekalan beserta jadual pembayaran baharu. Perubahan jadual pembekalan adalah di bawah bidang kuasa dan kelulusan JBPM. Perjanjian tambahan juga perlu disediakan bagi tujuan berkenaan," katanya.

LKAN memaklumkan, semakan lanjut mendapati kelulusan Kementerian Kewangan bagi permohonan perubahan spesifikasi tanpa sebarang pertambahan kos telah diperoleh pada 21 Disember 2023, bagaimanapun setakat 31 Disember lalu, perjanjian tambahan masih belum disediakan.

Tambah laporan tersebut, JBPM dalam maklum balas berkata mesyuarat Contract Coordination Committee JBPM pada 31 Jan lepas bersetuju memperakukan penjadualan semula pembekalan 150 unit CFRT berkenaan iaitu mulai Fasa 1 pada 31 Jan 2024 hingga Fasa 20 pada 31 Julai 2028, manakala perjanjian tambahan turut ditandatangani pada 31 Januari lalu.

Ujarnya lagi, JBPM turut memaklumkan pihaknya telah menerima lima unit CFRT iaitu pada 31 Januari dan 29 Febuari lepas manakala empat unit CFRT bagi Fasa 3 telah dibekalkan pada 30 April lalu.

Sementara itu, pihak JBPM turut disyorkan bertindak mengambil beberapa langkah seperti memberikan perhatian serius terhadap premis yang tidak mempunyai perakuan bomba.

"Tempoh masa pemeriksaan semula premis bagi tujuan pengeluaran Borang FC7 selepas tamat tarikh Notis FC6 patut ditetapkan. Ini bagi memastikan tindakan pendakwaan dapat diambil sekiranya premis tidak mematuhi Notis FC6.

"Selain itu, pihak JBPM wajar menilai program kesedaran awam bagi menentukan keberkesanannya serta mengenal pasti ruang penambahbaikan.

"Agensi itu juga perlu memastikan semua pembekalan aset dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan supaya tahap kecekapan perkhidmatan kebombaan dapat ditingkatkan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!