Ketua Audit Negara tegur tiga projek lemah

Laporan Ketua Audit Negara
Laporan Ketua Audit Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis menegur tiga isu signifikan termasuk membabitkan pengurusan Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL).

Dua lagi isu yang dibangkitkan melibatkan pengurusan program pemerkasaan jaringan dan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar serta pengurusan projek dan program di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Laporan itu berkata, dapatan berkenaan diperoleh hasil daripada sembilan pengauditan melibatkan 11 kementerian dengan nilai kos keseluruhan program, projek dan aktiviti diaudit berjumlah RM41.97 bilion.

Katanya, skop pengauditan meliputi projek-projek yang telah dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan aktiviti, projek atau program kerajaan yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam polisi atau prosedur kerja.

“Kelemahan ini menyebabkan program, aktiviti atau projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kualiti kerja tidak memuaskan, kos meningkat dan kerajaan tidak mendapat nilai faedah wang yang dibelanjakan,” katanya.

Memperincikan perkara berkenaan, Jabatan Audit Negara (JAN) berpendapat projek RoL tidak akan berjaya disiapkan pada tahun ini kerana sehingga Julai 2023, sebanyak 12 projek masih dalam peringkat prapelaksanaan, lapan projek dalam pelaksanaan dan kontraktor penyiap belum dilantik bagi dua projek setelah ditamatkan kontrak.

Menurut LKAN, sehingga Disember 2023, sebanyak RM3.915 bilion telah dibelanjakan daripada RM4.363 bilion yang diperuntukkan.

Artikel Berkaitan:

“Mengenai pengurusan program pemerkasaan jaringan dan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar, secara umumnya matlamat untuk memperluaskan liputan dan ketersambungan internet berkelajuan tinggi (fiber) di kawasan luar bandar melalui peruntukan kewangan kerajaan masih belum tercapai sepenuhnya.

“Sebanyak 28 daripada 87 jajaran jalur lebar di Sabah dan Semenanjung bernilai RM53.6 juta tidak dilanggan dan tidak digunakan antaranya sejak dari tempoh penyiapan pada 2013 dan 2017.

"Terdapat sebahagian infrastruktur jajaran berkenaan dalam keadaan terbiar, sambungan talian kabel terputus dan alami kerosakan peralatan,” tambah laporan itu.

Sementara itu, LKAN memaklumkan, pencapaian pelaksanaan sosioekonomi projek dan program Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) pula tidak dapat diukur kerana tiada pangkalan data terhadap maklumat pendapatan isi rumah dan garis kemiskinan kumpulan sasar dalam Wilayah ECER.

Jelasnya, sebanyak 37 daripada 43 plot perindustrian tidak diisi dengan pelabur bagi Projek Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP), Projek Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP 3) dan Projek Taman Biopolimer Kertih (KBP) Fasa 1 hingga 3.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!