Lelaki maut, dua anggota polis parah kereta masuk parit
MUAR - Seorang lelaki maut manakala dua anggota polis cedera parah selepas dua kenderaan yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Jalan Benteng, Parit Kongsi 4, Parit Jawa, di sini, pada awal pagi Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, nahas dipercayai berlaku sekitar jam 4 pagi ketika dua anggota polis dari cawangan kereta peronda berusia 40 dan 41 tahun itu sedang menjalankan tugas rondaan dan menahan suspek di Pekan Parit Jawa bagi tujuan pemeriksaan.
Bagaimanapun katanya, suspek yang memandu kereta jenis Toyota Vios bertindak melarikan diri dengan memecut laju ke arah Parit Jamil.
“Pada masa sama, polis turut membunyikan siren amaran agar suspek memberhentikan kenderaan sebaliknya dia enggan dan terus memecut.
"Ketika usaha mengejar suspek dilakukan, kedua-dua kenderaan polis dan suspek terbabas dan memasuki parit sama.
“Akibatnya, kereta yang dipandu suspek telah terbakar dan menyebabkan kematian manakala kedua-dua anggota polis mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar bagi menerima rawatan,” katanya.
Raiz Mukhliz berkata, mayat suspek kemudiannya dibawa ke unit forensik hospital bagi proses bedah siasat serta menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti sebenar suspek.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
"Polis meminta orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!