Malaysia, Thailand sasar dagangan dua hala AS$30 bilion menjelang 2027

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan Thailand Phumtham Wechayachai.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan Thailand Phumtham Wechayachai.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Thailand menyasarkan nilai hubungan dagang dua hala mencecah AS$30 bilion (AS$1=RM4.70) menjelang 2027.

Harapan itu disuarakan susulan berlangsungnya Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia-Thailand (JTC) kali ketiga di sini, hari ini, kata kenyataan media bersama dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan Thailand Phumtham Wechayachai, juga membuktikan kepentingan hubungan ekonomi yang lama terjalin antara dua negara berkenaan.

Perdagangan Malaysia-Thailand mencecah purata US$24.73 bilion setahun dalam tempoh tujuh tahun lepas (2017-2023) dengan nilai tertinggi pada AS$27.74 bilion dalam 2022.

"Walaupun perdagangan dua hala pada 2023 susut kepada US$24.83 bilion susulan dagangan global yang lebih perlahan, Malaysia kekal sebagai rakan dagang terbesar Thailand di ASEAN,” katanya.

MITI berkata, antara perjanjian utama yang dicapai adalah penubuhan pasukan petugas khas dalam bidang perdagangan dan pelaburan bagi meningkatkan aspek memudahcara perdagangan sempadan untuk meraih sasaran perdagangan selain meningkatkan kesalinghubungan rentas sempadan.

Di samping itu, Malaysia dan Thailand juga bersetuju memudahcara usaha pengimportan dan pengeksportan produk-produk pertanian dan meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang seperti getah, pengangkutan darat dan kesalinghubungan, keusahawanan, francais, pertanian dan persekitaran digital meliputi pengenalan digital, pusat data, keselamatan siber, bakat atau tenaga kerja digital selain menyokong kerjasama sektor swasta.

"Aspek lain yang turut dipersetujui kedua-dua negara adalah meneruskan kerjasama dalam mempromosi produk halal menerusi aktiviti penggalakan eksport.

Artikel Berkaitan:

"Di bawah kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada 2025, kedua-dua negara menzahirkan keyakinan bahawa Visi Komuniti ASEAN 2045 serta Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026-2030 dapat dimuktamadkan menjelang 2025,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!