609 projek naik taraf loji rawatan kumbahan siap sepenuhnya - SPAN

SPAN akan terus memantau secara dekat kerja-kerja penyiapan baki projek dengan rapi dalam memastikan projek itu dapat disiapkan mengikut jadual.
SPAN akan terus memantau secara dekat kerja-kerja penyiapan baki projek dengan rapi dalam memastikan projek itu dapat disiapkan mengikut jadual.
A
A
A

SHAH ALAM - Status semasa kemajuan projek menaik taraf sebanyak 636 Loji Rawatan Kumbahan (LRK) di seluruh negara berada di tahap 98.5 peratus di mana 609 lokasi siap sepenuhnya dan berbaki 27 lokasi lain dijangka siap pada Oktober ini.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata, mereka memaklumkan langkah segera akan diambil bersama Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) bagi menangani isu kelewatan dan menyegerakan kemajuan kerja.

Menurutnya, ia bertujuan untuk mengelakkan sebarang impak atau kesan kelewatan daripada berterusan.

“SPAN akan terus memantau secara dekat kerja-kerja penyiapan baki projek dengan rapi dalam memastikan projek itu dapat disiapkan mengikut jadual.

“Ia bakal memberi manfaat yang besar kepada pengguna perkhidmatan pembetungan serta menjamin kelestarian sumber air dan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2024 mendapati 129 daripada 636 projek menaik taraf LRK Fasa 1 dirancang SPAN dilaksanakan IWK mengalami kelewatan dengan kos berjumlah RM68.16 juta.

Ia turut menyebut kelewatan berkenaan disebabkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penangguhan kerja pemasangan paip dan kelewatan pembekalan bahan binaan sehingga menyebabkan objektif pembinaan infrastruktur air tidak tercapai.

Tambah SPAN, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap LKAN termasuk semua teguran yang diberikan berkaitan perkhidmatan air.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kerja naik taraf berkenaan bagi mematuhi Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 yang dimulakan pada 13 November 2020 dengan jumlah kos RM142.8 juta.

“Ketika aktiviti audit dan juga lawatan tapak dijalankan sekitar tahun 2022 sehingga awal tahun 2023, kelewatan direkodkan ke atas 129 lokasi projek-projek berkenaan berpunca daripada situasi pandemik wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia termasuk kekangan membawa peralatan mekanikal dan elektrikal yang perlu diimport dari luar negara, kenaikan kos bahan binaan dan peralatan serta kekurangan tenaga kerja atau buruh binaan bagi melaksanakan kerja-kerja berkenaan pasca pandemik,” tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!