Kad akreditasi pemandu bas sedang diperinci - Anthony

Anthony ketika mempengerusikan Mesyuarat National Shipping Port Council (NSPC) Bil. 1/2024 di sebuah hotel, pada Khamis. Foto Bernama
Anthony ketika mempengerusikan Mesyuarat National Shipping Port Council (NSPC) Bil. 1/2024 di sebuah hotel, pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan sedang memperincikan beberapa peraturan berhubung pengeluaran kad akreditasi untuk pemandu bas, kata menteri berkaitan, Anthony Loke.

"Malah, isu ini telah dibangkitkan kepada kami sebulan lepas dan kami telah bersetuju pengeluaran kad pemandu bas ini tertakluk kepada beberapa peraturan yang sedang diperincikan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan (NPSC) yang dipengerusikannya, pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali sebagai berkata kad akreditasi kepada pemandu dan pengusaha bas membolehkan mereka dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku aduan atau sesuatu insiden.

Beliau berkata, kad akreditasi untuk pemandu akan membantu mencegah pemandu yang tidak mempunyai lesen atau tidak berpengalaman memandu di jalan raya.

Berhubung operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap bas persiaran di seluruh negara yang bermula Selasa lepas, Anthony berkata, sebanyak 351 kenderaan itu telah diperiksa setakat semalam.

Beliau berkata, enam pemandu ditahan dan dilarang memandu kerana disyaki menggunakan bahan terlarang selepas gagal ujian urin dan terdapat empat kes pemandu tidak memiliki lesen.

"Kita memandang serius daripada angka ini, bahawasanya ada pemandu ini bukan sahaja tidak ada lesen tetapi terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2024 yang menyatakan Transit Aliran Massa (MRT) gagal mencapai sasaran penumpang, beliau berkata kelemahan itu sedang ditangani.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi jumlah penumpang dan kekerapan, semua isu itu ditangani dari semasa ke semasa, bukan hanya kerana Laporan Ketua Audit Negara.

"Kami telah pun melaksanakan sistem petunjuk prestasi utama (KPI) untuk Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana),” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!