HRD Corp laksana reformasi, tambah baik tatakelola organisasi

HRD Corp telah melaksanakan beberapa reformasi proses untuk menambah baik tatakelola organisasi tersebut pada tahun ini. Gambar kecil: Abu Huraira
HRD Corp telah melaksanakan beberapa reformasi proses untuk menambah baik tatakelola organisasi tersebut pada tahun ini. Gambar kecil: Abu Huraira
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) telah melaksanakan beberapa reformasi proses untuk menambah baik tatakelola organisasi tersebut pada tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, pembaharuan di bawah rekayasa Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) itu dibuat atas arahan Menteri Sumber Manusia.

Antara penambahbaikan termasuk pemansuhan projek Skills Passport tanpa sebarang kos serta kerugian kepada HRD Corp dan kerajaan.

"Pengasingan Jawatankuasa Risiko dan Audit menjadi dua jawatankuasa berbeza melibatkan Jawatankuasa Risiko dan Jawatankuasa Audit.

"Setiap jawatankuasa dianggotai ahli lembaga pengarah berbeza dan akan dipengerusikan oleh dua ahli lembaga bebas bukan eksekutif, yang berpengalaman dalam bidang utama dalam kedua-dua fungsi tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Laporan Ketua Audit Negara 2024 yang dibentangkan di Parlimen pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, syarikat berkenaan turut memperkenalkan Akaun Inisiatif Strategik (SIA) yang berasingan dengan akaun amanah levi bertujuan untuk memastikan pengurusan kewangan yang lebih telus dan cekap.

Menurutnya, langkah pengasingan akaun berkenaan memperkukuhkan lagi proses untuk memastikan levi majikan hanya digunakan bagi tujuan latihan kemahiran pekerja majikan berdaftar sahaja.

Artikel Berkaitan:

"SIA pula dibiayai melalui Keuntungan Terkumpul HRD Corp dengan tujuan menyokong peningkatan kemahiran dan pembangunan modal insan dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mikro-PKS dan komuniti rentan.

"Kami turut memperketat proses dalaman bagi mendapatkan kelulusan Panel Pelaburan yang merangkumi sebahagian ahli-ahli Lembaga Pengarah yang berpengalaman dalam bidang pelaburan.

"Ini termasuk memperkasakan bahagian perbendaharaan syarikat yang akan menjalankan usaha wajar untuk setiap pelaburan," ujarnya.

Menurut Abu Huraira, syarikat tersebut turut melaksanakan sistem pemantauan permohonan latihan dengan setiap pemohon hanya boleh menggunakan geran kerajaan sekali sahaja berdasarkan rekod nombor kad pengenalan yang didaftarkan.

Sistem terbaru ini jelasnya, akan menolak permohonan secara automatik sekiranya terdapat pertindihan nombor kad pengenalan yang sama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!