Pas gesa pemantau SPR turunkan papan iklan PH di Sungai Bakap - Tuan Ibrahim

Tulisan bahasa Cina di papan iklan didakwa tidak membawa maksud yang sama dengan bahasa Melayu dibentangkan di Sungai Bakap. Foto tangkap layar Facebook Tuan Ibrahim. (Gambar kecil: Tuan Ibrahim)
Tulisan bahasa Cina di papan iklan didakwa tidak membawa maksud yang sama dengan bahasa Melayu dibentangkan di Sungai Bakap. Foto tangkap layar Facebook Tuan Ibrahim. (Gambar kecil: Tuan Ibrahim)
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menggesa pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menurunkan papan iklan yang didakwa cuba mengapi-apikan perkauman dalam fasa berkempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia berikutan papan iklan yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan (PH) itu didakwa menunjukkan maksud ayat dalam bahasa Cina tidak sama dengan bahasa Melayu.

“Ini bercanggah dengan peraturan pilihan raya yang mana terjemahannya bukan menterjemahkan tulisan bahasa Melayu kerana tulisan bahasa Cina lain.

“Ia tidak sepatutnya berlaku, mungkin sebahagian besar orang Melayu tidak faham, tetapi pemantau SPR ini sepatutnya memahami semua bahasa dalam papan iklan tersebut.

“Mana-mana papan iklan yang dibentang dan dipamerkan tanpa kelulusan juga sepatutnya boleh diambil tindakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Tuan Ibrahim turut mendakwa parti lawannya itu terdesak untuk mendapatkan undian daripada masyarakat di Sungai Bakap dengan menanamkan kebencian dalam kalangan pengundi bangsa Cina.

Tambahnya, perkara tersebut dikaitkan dengan gelombang hijau iaitu Pas kerana calon Perikatan Nasional (PN) di DUN berkenaan diwakili parti berkenaan.

“Sentimen itu cuba ditanamkan dengan kebencian dan terang-terang bercanggah dengan 3R (kaum, agama, raja) yang menimbulkan sentimen bangsa walaupun tidak disebut Melayu atau Cina.

Artikel Berkaitan:

“Akan tetapi gelombang hijau tersebut merujuk kepada kebangkitan rakyat Malaysia mengundi PN iaitu istilah yang digunakan oleh DAP sebelum ini,” ujarnya.

Tuan Ibrahim turut menggesa orang ramai untuk keluar mengundi awal dan memastikan undian dilakukan kepada PN.

“Insya-Allah, kita harapkan Sungai Bakap kita mengekalkan kemenangan dan pastikan undi anda kepada PN walau siapa kita sekalipun.

“Pastikan kemenangan PN dapat kita kekalkan di Sungai Bakap ini,” tegasnya.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!